Tubuh badan khas tanpa ahli politik tangani isu negara - Musa Hitam
Astro Awani
Oktober 1, 2021 21:22 MYT
Oktober 1, 2021 21:22 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menubuhkan sebuah badan tanpa penglibatan ahli politik bagi menangani isu negara.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam memberi reaksi berkenaan susulan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH).
“Kita semua telah melihat masalah yang sama dan masing-masing mempunyai penjelasan dari sudut mereka sendiri dalam pendekatan pelbagai subjek.
“Tetapi jika kita semua dapat teratur dengan cara yang tidak berpihak dengan fokus dan penuh dedikasi, itu dapat dilakukan,” kata Musa.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama dalam forum Agenda Pembaharuan Kewangan Parti Politik di Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ini adalah masa yang sesuai untuk semua individu dan kumpulan bekerjasama untuk menyumbang kepada negara.
“Pada saat-saat yang sedang kita lalui sekarang seperti ketidakpastian pimpinan, pilihan raya umum, penyesuaian semula kelompok politik, tidak ada waktu yang lebih baik daripada ini bagi semua non-partisan untuk bersama-sama menyumbang,” tambahnya.
Beliau pada masa sama mencadangkan badan tersebut tidak boleh lebih dari dua tahun dan kajian yang teliti perlu dilakukan mengenai jumlah keahlian.
“Aktiviti, hak, tanggungjawab dan tugas harus merangkumi keseluruhan tempoh dua tahun tetapi bebas dari campur tangan kerajaan atau ahli politik kepartian.
“Semua perkara yang berkaitan dengan kumpulan itu akan dilakukan dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong dan akta khas Parlimen perlu dibentangkan dan diluluskan,” ujarnya.