Tuan Ibrahim sokong Tun M sebagai PM hingga habis penggal
Astro Awani
Ogos 1, 2019 16:49 MYT
Ogos 1, 2019 16:49 MYT
Semua parti politik diminta memberikan keutamaan untuk membantu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hingga akhir penggal, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Hujah Tuan Ibrahim menyokong supaya Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri hingga akhir penggal adalah penting supaya semua pihak terutama sektor swasta kembali yakin dengan kestabilan politik negara.
"Pas dan UMNO terutamanya bersedia menjadi pembangkang yang konstruktif untuk bersama-sama membangunkan negara," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga menegaskan, adalah sukar untuk negara terus maju dan membangun sekiranya parti pemerintah berkecamuk menguruskan masalah dalamannya.
"Saya beranggapan agenda Kemakmuran Bersama adalah penting dan mesti didokong dengan bersungguh-sungguh.
"Setelah setahun PH (Pakatan Harapan) gagal memerintah negara, ini adalah peluang yang terbaik untuk membuktikan mereka mampu menggalas amanah yang diberikan rakyat," katanya lagi.
Tuan Ibrahim turut berpendapat, PH akan mensabotaj agenda Kemakmuran Bersama yang diilhamkan oleh Dr Mahathir sekiranya isu perebutan kuasa dalam gabungan itu tidak dapat dihentikan.
Katanya, negara menjadi tidak stabil mutakhir ini akibat masalah dalaman parti terbesar dalam PH yang menjadi subjek dominan politik negara.
"Tambahan pula, terdapat desas desus pertukaran Menteri Besar Selangor yang akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya.
Dalam kenyataannya juga, Tuan Ibrahim menjelaskan, permintaan beliau selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu kerajaan pimpinan Dr Mahathir meneruskan usaha menyusun semula rancangan pembangunan negara, meningkatkan prestasi urus tadbir, memerangi rasuah dan mempertahankan keluhuran undang-undang.
Kenyataan Tuan Ibrahim ini sekali gus menyokong pandangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri hingga akhir penggal.
BACA: 'Saya tak bercadang jadi PM untuk sepenggal, namun ... '- Tun Mahathir