'Tsunami Melayu' itu tidak wujud, kata PM Najib

Firdaus Azil
April 23, 2018 13:08 MYT
Perdana Menteri berkata, kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinannya sama sekali tidak pernah mengabaikan kepentingan kaum Cina di negara ini.
Masyarakat Cina diminta tidak mempercayai dakwaan pembangkang, khususnya DAP, bahawa akan berlakunya ‘Tsunami Melayu’ yang akan menentang kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN), sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, itu semua hanyalah strategi untuk mempengaruhi sentimen pengundi masyarakat Cina untuk turut bersama-sama menentang kerajaan.
Natijahnya, tambah Pengerusi BN itu, akan mengakibatkan kurangnya wakil kaum itu dalam kerajaan BN di peringkat Legislatif dan Eksekutif, sekaligus menyebabkan kepentingan mereka tidak dapat diperjuangkan sepenuhnya.
“Hari ini populasi kaum Cina sudah mencecah 23 peratus, tetapi hanya terdapat enam peratus sahaja wakil rakyat yang menyokong kerajaan. Itu adalah sesuatu yang tidak mampan untuk jangka masa panjang, dan ia hanya akan merugikan masyarakat Cina,” katanya ketika berucap merasmikan kampus baharu Sekolah Tinggi Kuen Cheng, di sini hari ini.
Walaupun begitu, Perdana Menteri berkata, kerajaan BN di bawah pimpinannya sama sekali tidak pernah mengabaikan kepentingan kaum Cina di negara ini.
“MCA dan Gerakan serta parti-parti lain di bawah BN sentiasa bekerja keras untuk menjaga kebajikan kaum Cina. Saya boleh memberi jaminan kepada anda, saya sentiasa mendapat permintaan daripada Datuk Seri Liow (Presiden MCA), dan Datuk Seri Mah (Presiden Gerakan), tentang apa lagi yang boleh dilakukan untuk menjaga kepentingan kaum Cina.
“Misalnya, saya sudah meluluskan pembinaan sepuluh sekolah Cina yang baru, dan tiga daripadanya sudahpun dirasmikan Datuk Seri Liow di Johor baru-baru ini. Apabila sekolah-sekolah Cina mengalami kekurangan guru-guru terlatih, kita turut membantu menyelesaikan masalah itu.
“Dan saya turut memberi jaminan kepada anda, bahawa Kerajaan Barisan Nasional sudah pun memasukkan pertimbangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam manifesto BN,” katanya lagi.
Datuk Seri Najib berkata, lebih banyak lagi yang dapat dilakukan sekiranya masyarakat Cina kembali menyokong kepimpinan beliau.
“Anda semua merupakan sebahagian besar daripada sejarah cemerlang Malaysia. Kita sudah mencapai banyak perkara, tetapi sekiranya anda bersama dengan kerajaan, saya percaya kita boleh pergi lebih jauh lagi.
“Kita tidak boleh menjadi satu komuniti sahaja. Seperti apa yang diimpikan pengasas negara ini, ia perlukan kerjasama semua pihak. Baik Melayu, Cina, India, serta adik-beradik kita di Sabah dan Sarawak, kita harus bekerja sama dalam memajukan negara ini. Itu adalah visi saya, itu adalah harapan saya, dan itu adalah janji saya,” katanya lagi.
#Barisan Nasional #Cina #DAP #GERAKAN #India #kerajaan #Kuen Cheng High School #Manifesto #MCA #Najib Razak #peperiksaan #Perdana Menteri #pilihan raya umum
;