Tsunami Cina kekal, wujud gelombang Melayu
Sinar Harian
April 20, 2018 11:18 MYT
April 20, 2018 11:18 MYT
Bukan sekadar tsunami Cina kekal seperti yang berlaku pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) malah kini wujud gelombang Melayu.
Itu kata Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, ketika berucap di Ceramah Pakatan Harapan di Dataran Kampung Sepakat, di sini, malam tadi.
Menurutnya, ketika bertanding di Johor pada PRU13, beliau cukup teruja dengan negeri itu kerana sambutan yang diberikan cukup meyakinkan.
Katanya, pada siri jelajah yang diadakan ketika itu, rata-rata yang berani keluar adalah majoriti Cina, sekali gus membuktikan terjadinya tsunami Cina.
“Siri jelajah kali ini cuba lihat di Johor, Kelantan, Perlis, Kedah dan Selangor, bukan sekadar kekal tsunami Cina malah wujud gelombang Melayu, ia membentuk gelombang rakyat bersama Harapan untuk tumbangkan Barisan Nasional (BN).
“Tanpa gelombang Melayu, BN tak boleh tumbang, dan yang wujud sekarang adalah gelombang rakyat yang meyakinkan rakyat,” katanya di hadapan kira-kira 300 hadirin yang hadir pada program ceramah itu.
Turut menyampaikan ceramah, bekas Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, Penyelaras Harapan Parlimen Rompin, Sitarunisah Abdul Kadir, calon Harapan Dun Tioman, Ahmad Sazili Mohd Nor dan calon Harapan Dun Bukit Ibam, Zulkurnain Mohamad Ridzuan.
Naib Presiden Harapan itu turut menegaskan sekiranya Harapan mahu menjadi satu pasukan yang menumbangkan BN, tidak boleh mengulang kesilapan sewaktu dalam Pakatan Rakyat (PR).
Menurutnya, sebarang kelemahan, kesilapan, kesalahan yang dipelajari dalam PR jangan diulang dalam Harapan. Jika diulang, Harapan tidak ke mana.
“Kami bina (Harapan), dulu PR tiada presiden, tiada pengerusi.. mesyuarat ikut dan.. di negeri tiada struktur.. tiada ketua.. kita cadangkan dalam Harapan wujudkan semua ini sebab nak maju untuk yakinkan rakyat.
“Apa yang rakyat minat, nak tengok Harapan benar-benar kuat lawan (Datuk Seri) Najib (Razak) dan tumbangkan BN.. kita berusaha keras walaupun bukan mudah,” katanya.
#Barisan Nasional
#jelajah
#MalaysiaMemilih
#Melayu
#Pakatan Harapan
#Pakatan Rakyat
#pengundi
#Salahuddin Ayub
#tsunami Cina