Trio bekas MB Selangor mampu tarik semula pengundi protes BN - Dr Sivamurugan
Wan Syamsul Amly
September 23, 2017 12:00 MYT
September 23, 2017 12:00 MYT
Kemasukan trio bekas Menteri Besar Selangor dapat menarik semula sokongan pengundi tegar Barisan Nasional (BN) yang telah melakukan undi protes pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sebelum ini.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, ia sekali gus usaha menarik sokongan di peringkat akar umbi khususnya agenda tertentu yang berdasarkan kepada pengorbanan atau apa yang telah mereka lakukan sepanjang mentadbir Selangor.
Jelasnya, BN Selangor juga perlu menunjukkan nilai jauh lebih besar dari sudut perpaduan, perkongsian, kepunyaan ke atas parti dan bukan personaliti semata-mata untuk memenangi semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.
"Apa yang telah dilakukan adalah menarik tiga bekas menteri besar yang dirasakan boleh main peranan iaitu Tan Sri Abu Hassan Omar, Dr Mohamad Khir Toyo dan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, walaupun masing-masing mempunyai imej yang dikatakan tidak disenangi oleh beberapa pihak termasuklah ketika mereka melepaskan jawatan.
"Saya rasakan elemen paling penting yang harus dilihat di sini dengan kehadiran mereka apa yang cuba UMNO dan BN lakukan adalah merapatkan barisan semula, mengelakkan 'cah keting' atau sabotaj dalaman begitu besar dan ketara pada 2013.
"Saya percaya akibat daripada apa yang berlaku 2013 itu, apa yang cuba dilakukan UMNO adalah untuk memastikan hanya ada seorang nakhoda tetapi nakhoda itu akan disokong oleh pihak-pihak lain dengan berdasarkan kepada kepentingan parti dan juga memastikan mereka boleh sekurang-kurangnya memberikan persaingan di Selangor selepas ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyifatkan penyertaan semula Tan Sri Muhammad Muhamad Taib melengkapkan jentera BN untuk kembali merampas Selangor.
Ia kemudian disusuli dengan penglibatan dua lagi bekas Menteri Besar Selangor iaitu Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohamad Khir Toyo.
Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata kembalinya bekas pemimpin parti kepada UMNO menunjukkan wujud kesedaran bahawa agenda besar parti dan negara adalah jauh lebih penting berbanding agenda individu.
Katanya Muhammad, yang pernah menyandang pelbagai jawatan termasuk sebagai Ketua Penerangan UMNO dahulu, sedar perjuangan untuk rakyat adalah lebih bermakna jika berada di dalam UMNO dan Barisan Nasional, selepas lima tahun mencuba melalui platform PAS dan PKR.