Tribunal siasatan bekas ahli SPR di luar bidang kuasa suruhanjaya - Art Harun

Isabelle Leong
Januari 25, 2019 13:15 MYT
Azhar enggan mengulas mengenai penubuhan tribunal tersebut dan menyerahkan siasatan dakwaan salah laku yang dilakukan enam bekas ahli SPR yang terlibat kepada pihak tribunal yang ditubuhkan. - Gambar fail
Tribunal yang ditubuhkan bagi menyiasat tuduhan ke atas enam bekas ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah di luar bidang kuasa SPR, kata pengerusinya, Azhar Azizan Harun.
Azhar enggan mengulas mengenai penubuhan tribunal tersebut dan menyerahkan siasatan dakwaan salah laku yang dilakukan enam bekas ahli SPR yang terlibat kepada pihak tribunal yang ditubuhkan.
“Itu luar bidang kuasa saya. Jabatan Peguam Negara menasihati supaya tribunal tersebut diadakan.
“Saya serahkan kepada pihak tribunal unuk melihat perkara demikian.
“Saya tidak mahu mengulas tentang perkara tersebut,” kata Azhar kepada pemberita selepas membuat lawatan ke pusat semakan peti undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Cameron Highlands.
Pada Khamis, Peguam Negara, Tommy Thomas, berkata tribunal tersebut dianggotai lima hakim bersara yang pernah memegang jawatan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 114(3), 125(3) dan 125(4) Perlembagaan Persekutuan.
Tribunal tersebut akan bersidang di Mahkamah Klang pada pada 28 Januari sekitar jam 10 pagi dan melibatkan enam bekas anggota SPR iaitu Tan Sri Othman Mahmood (bekas Timbalan Pengerusi SPR), Datuk Md Yusop Mansor, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk K Bala Singam dan Datuk Leo Chong Cheong.
Menurut Tommy, pada 17 Oktober 2018, terdapat laporan kerajaan sudah memulakan proses untuk menubuhkan tribunal berkenaan, namun pada hari berikutnya, lima Ahli SPR mengumumkan peletakan jawatan mereka manakala seorang ahli yang kekal turut meletak jawatan pada 27 November 2018.
Kesemua peletakan jawatan berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
#Abdul Aziz Khalidin #Art Harun #K Bala Singam #kerajaan #Leo Chong Cheong #Mahkamah Persekutuan #Malaysia Baharu #Md Yusop Mansor #PRK Cameron Highlands #Tommy Thomas #tribunal #Yang di-Pertuan Agong
;