Trend politik dibawa PN rugikan rakyat - Khalid
Bernama
Ogos 14, 2023 18:17 MYT
Ogos 14, 2023 18:17 MYT
KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan kaedah politik yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) sebagai trend yang merugikan rakyat dan negara termasuk orang Melayu serta umat Islam.
Pengarah Komunikasi Nasional Amanah Khalid Abdul Samad berkata trend yang dibawa itu merugikan memandangkan ia merupakan satu pemikiran yang terlalu taasub terhadap sesuatu jenama ataupun parti politik.
"Pemikiran politik dengan menyuntik sentimen perkauman serta keagamaan ini merugikan rakyat dan negara... pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kalau prestasi kita baik, maka kekalkan, kalau prestasi tidak baik maka tukarlah.
"Tetapi pemikiran politik yang dibawa oleh PN khususnya PAS, benda ini semua tidak penting, membuatkan pengundi tidak pandang mengenai prestasi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Amanah Kelantan yang turut dihadiri Ketua Angkatan Wanita Amanah (Awan) Kelantan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim di sini hari ini.
Khalid yang juga Pengerusi Amanah Kelantan berkata disebabkan pemikiran politik yang dibawa oleh PN itu, kerajaan Selangor turut terkena tempias pada PRN baru-baru ini walaupun telah menunjukkan prestasi yang terbaik dan cemerlang.
"Prestasi kerajaan Selangor adalah paling terbaik termasuk tahap pembangunan yang terbaik, perkhidmatan dan pakej terhadap rakyat yang terbanyak ditawarkan kepada rakyat sekali gus membuatkan kita berkeyakinan akan mendapat sokongan rakyat," katanya.
Pada PRN Selangor baru-baru ini, PH-BN memenangi 34 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, berbanding 51 daripada 56 kerusi pada PRN 2018.
-- BERNAMA