Topik tarik sokongan kaum Cina kepada MCA bergema pada sesi perbahasan
Bernama
November 13, 2016 21:41 MYT
November 13, 2016 21:41 MYT
Topik berhubung usaha menarik sokongan masyarakat Cina terhadap MCA bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang bergema pada sesi perbahasan dalam Perhimpunan Agung Tahunan parti itu di Wisma MCA hari ini.
Seorang perwakilan dari Pagoh, Johor Mong Siaw Fang mengingatkan pemimpin MCA terutamanya yang memegang jawatan dalam kerajaan supaya lantang menyuarakan kepentingan masyarakat itu, jika mahu menarik sokongan kaum berkenaan kepada parti itu.
Katanya mereka seharusnya berani menyatakan pendirian berhubung sebarang isu berbangkit melibatkan masyarakat berkenaan.
Mong juga berkata anggota parti itu tidak boleh terlalu memikirkan tentang soal berebut jawatan sebaliknya harus menumpukan perkhidmatan untuk rakyat dan parti.
"Kesedaran untuk berkhidmat kepada rakyat harus dipertingkatkan dalam kalangan anggota kerana jawatan itu tidak membawa apa-apa makna sekiranya tidak mendapat sokongan anggota parti dan rakyat," katanya.
Topik yang dibawa Mong turut dikongsi perwakilan dari Lembah Pantai, Kong Kok Meng yang mahu MCA mempertahankan kawasan tumpuan padat masyarakat Cina dalam isu persempadanan semula kerana ia merupakan peluang untuk mengembalikan sokongan mereka kepada parti.
"Dalam isu ini, MCA perlu tampil ke hadapan untuk menyatakan pendirian bagi mengekalkan keluasan persempadanan semula terutamanya di kawasan tumpuan masyarakat Cina," katanya.
Sementara itu, perwakilan dari Pulau Pinang, Goh Swee Gim membangkitkan isu kelemahan pentadbiran kerajaan Pulau Pinang berhubung masalah banjir kilat dan bukan hanya menyalahkan orang lain dan terus memainkan isu politik .
Katanya kerajaan negeri pimpinan DAP itu harus melihat mekanisme bersesuaian untuk mengatasi masalah banjir kilat dan kepadatan penduduk di negeri itu dan harus merujuk kepada pakar berhubung sistem perparitan yang sistematik sebelum memulakan sebarang projek perumahan atau pembangunan.
Sementara itu, seorang perwakilan dari Arau, Perlis, Chuah Tian Hee berkata kerajaan harus mengutamakan pekerja tempatan berbanding pekerja asing untuk berkhidmat dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Katanya kebanyakan warga tempatan sukar mendapat pekerjaan dalam sektor itu kerana majikan didapati menggaji lebih ramai pekerja asing atas faktor upah lebih rendah.
"Sedangkan warga tempatan kebanyakannya perlu menyara keluarga dan memerlukan pekerjaan tetap berbanding pekerja asing. Ini turut menyebabkan kadar pengangguran semakin meningkat.
"Lagipun warga tempatan lebih berpengalaman dan memahami situasi sebenar IKS di negara ini," katanya.
-- BERNAMA