Tony Pua umum tidak bertanding PRU15
Sinar Harian
Oktober 26, 2022 06:15 MYT
Oktober 26, 2022 06:15 MYT
KELANA JAYA: Penyandang kerusi Parlimen Damansara mewakili DAP, Tony Pua, mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat atas kehendak sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
"Malam ini, amat menyakitkan bagi saya untuk mengumumkan bahawa tidak akan bertanding dalam PRU akan datang.
"Anthony Loke, Govind Singh Deo dan lain-lain ada cuba memujuk saya terus bertanding tapi ini keputusan saya yang sudah difikirkan bertahun-tahun untuk berundur (sebagai Ahli Parlimen)," katanya pada majlis makan malam pengumpulan dana Parlimen Damansara, di sini pada Rabu.
Menurutnya, meskipun tidak bertanding, beliau akan terus membantu DAP bagi mencapai matlamat dan kemenangan dalam PRU15.
"Bagaimanapun, saya tidak meninggalkan pasukan dan saya juga percaya kepada pasukan dan perubahan.
"Saya tahu kekuatan dan kelemahan saya. Saya akan gunakannya untuk manfaat parti mencapai matlamat dan bagi PRU kali ini, saya akan berperanan dalam jentera publisiti parti.
"Saya gembira untuk memberi sumbangan dalam dasar dan pelaksanaannya. Apabila kita menang sebagai kerajaan, saya akan membantu menteri DAP memperkasakan ekonomi dan Malaysia," katanya.
Sementara itu, Anthony turut meluahkan kesedihan di atas keputusan Tony Pua, namun tetap menghormatinya.
Tambahnya, Tony Pua antara ahli Parlimen paling rajin di Malaysia yang melaburkan masa dan tenaga demi memajukan parti serta pemimpin tidak mementingkan diri yang mengutamakan kepentingan rakyat. -Sinar Harian