Tony Pua bidas pemimpin BN berhubung kenyataan mereka mengenai tol
Bernama
Februari 7, 2020 05:55 MYT
Februari 7, 2020 05:55 MYT
Ahli Parlimen Damansara Tony Pua pada Jumaat membidas dua pemimpin Barisan Nasional (BN) yang menghentam langkah-langkah yang diambil kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam mengurangkan kadar tol PLUS, dan mendakwa kedua-dua mereka membuat tuduhan palsu dengan penguasaan matematik yang lemah.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Lim Guan Eng itu berkata kerajaan komited memenuhi janji manifesto dan berjaya mengurangkan kos sara hidup rakyat biasa tanpa membebankan kerajaan dengan hutang besar, di samping memastikan ekonomi terus kukuh dengan sebuah kerajaan yang bersih, berhemah dan bertanggungjawab.
Awal minggu ini Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong mendakwa pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menanggung kebanyakan kos akibat pengurangan kadar tol PLUS, dalam bentuk dividen yang rendah.
Selain itu Wee juga berkata dua pemegang saham syarikat pengendali tol berkenaan, Khazanah Nasional Berhad dan KWSP, akan menampilkan pemberian dividen yang lebih rendah kerana pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus yang diumumkan akan mengurangkan keuntungan mereka.
"Saya hanya boleh katakan kepada Presiden MCA itu, bahawa hanya kerana BN tidak dapat melakukannya atau tidak tahu caranya, untuk menstruktur semula tol bagi manfaat rakyat, ia tidak bermakna PH juga tidak boleh," kata Pua dalam satu kenyataan.
Pua berkata kabinet telah meluluskan rancangan penstrukturan semula semata-mata kerana ia menampilkan formula menang-menang, di mana pengguna lebuh raya akan menikmati diskaun tol 18 peratus ke atas kadar tol semasa bagi baki tempoh konsesi, tanpa menaikkan kadar tol.
Beliau berkata ini berbeza sama sekali dengan skim penstrukturan semula BN, di mana tempoh konsesi dipanjangkan namun kadar tol terus meningkat antara lima dan 10 peratus setiap tiga tahun.
"Kerajaan kini tidak perlu lagi membayar pampasan kepada PLUS kerana membekukan atau mengurangkan kadar tol, sekali gus menjimatkan sekurang-kurangnya RM26 bilion yang boleh disalurkan kepada rakyat Malaysia di seluruh negara dari segi program-program pembangunan dan kebajikan.
"Yang penting sekali, nilai ekuiti pemilik saham PLUS - Khazanah dan KWSP, dilindungi sepenuhnya dalam penstrukturan semula itu. Ini dicapai menerusi pengeluaran sekuriti hutang kepada Khazanah dan KWSP oleh PLUS, yang akan dibiayai menerusi kutipan tol yang telah diberikan diskaun," tambahnya.
Pua berkata ini akan memastikan dividen yang perlu dibayar oleh KWSP kepada pencarumnya tidak akan terkesan dengan langkah penstrukturan semula.
Beliau seterusnya mencabar Wee untuk memohon maaf secara terbuka kepada kerajaan PH kerana membuat tuduhan palsu mengenai langkah berkenaan.
Ahli Parlimen itu berkata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sengaja cuba meraih sokongan dengan mendakwa bahawa jumlah tol yang akan dibayar bagi konsesi lanjutan yang baharu akan menjadi lebih banyak jumlahnya berbanding skim yang distrukturkan Najib pada tahun 2011.
Pua berhujah dengan mengatakan bahawa sebarang perbandingan nilai dalam perbezaan tempoh masa, perlu mengambil kira nilai semasa bersih (NPV), dan bukan nilai nominal.
"Dengan menggunakan kadar faedah lima peratus sebagai penanda aras, pengguna tol yang sama akan membayar NPV berjumlah RM5,581 di bawah skim baharu berbanding RM6,010 di bawah perjanjian konsesi sedia ada.
"Ini bermakna pengguna lebuh raya Malaysia masih membayar 7.1 peratus pengurangan, walaupun konsesi tol dilanjutkan 20 tahun," katanya.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional
#EPF
#kabinet
#Khazanah
#Kuala Lumpur
#KWSP
#Lim Guan Eng
#Malaysia
#Manifesto
#MCA
#Najib Razak
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#Perdana Menteri
#politik
#rakyat
#rakyat Malaysia
#tol
#Tony Pua
#Wee Ka Siong