Tolak PRU15 tahun ini bukan sebab takut hilang jawatan - Saifuddin

Mohd Zalani Md Atan
Oktober 8, 2022 17:35 MYT
Saifuddin bercakap pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Indera Mahkota di sini hari ini. - Foto BERNAMA
KUANTAN: Tuduhan kononnya barisan menteri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu (Bersatu) dan Pas menolak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini kerana tidak mahu kehilangan jawatan, adalah tidak benar.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bukan sahaja menafikan dakwaan tersebut malah katanya isu berkaitan jawatan juga tidak pernah dibincangkan sesama mereka di dalam Kabinet ketika ini.
Tegas Saifuddin yang juga Menteri Luar, pendirian Bersatu dan beberapa parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk dari Pakatan Harapan (PH) adalah konsisten menolak PRU15 hujung tahun ini kerana berkemungkinan berlaku banjir dan bukan sayangkan jawatan dalam Kabinet.
“Saya tak tahulah, tapi sebab kami dalam menteri-menteri Bersatu dengan Pas tak ada isu jawatan pun sebab jawatan ini sementara dan jawatan ini pun bukan milik kami ini milik parti. Kami ini wakil parti saja, jadi kalau parti kata jadi, jadilah pada kami, kami tidak pernah bincang pun soal jawatan," katanya.
Saifuddin berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Indera Mahkota di Kuantan pada Sabtu.
Tambah Saifuddin, PRU sepatutnya diadakan ketika rakyat berada dalam keadaan aman dan tidak terbeban dengan isu seperti banjir.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid sebelum ini dilaporkan berkata tindakan 12 menteri PN menolak PRU15 diadakan segera kerana takut kehilangan jawatan dan kuasa.
Politik | Ahmad Maslan bidas tindakan 12 menteri PN
#PRU15 #Saifuddin Abdullah #Bersatu #PAS #banjir
;