'Tolak pejuang agenda peribadi yang beremosi' - Shahril

Wan Syamsul Amly
Oktober 16, 2016 09:23 MYT
Pengumuman Mohd Rafiq keluar dari UMNO merupakan tindakan yang mendedahkan sifat kecewa dan lepas geram selepas digantung parti. - Gambar fail
Pengumuman bekas Exco Pemuda UMNO, Mohd Rafiq Naizamohideen keluar dari parti merupakan tindakan yang mendedahkan agenda peribadi bersifat kecewa dan lepas geram akibat tindakan disiplin kepadanya.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, langkah Mohd Rafiq yang mengupas isu keputusan penggantungannya oleh Lembaga Disiplin menggambarkan bahawa tindakan keluar parti itu berasaskan emosi selain bukan agenda berasaskan kepentingan rakyat seperti yang digembar-gemburkan.
"Hakikatnya, hujah-hujahnya kononnya kerajaan dan UMNO tersasar dari perjuangan asal hanya alasan bagi motif sebenar untuk melepas rasa dendam dan kecewa kerana diambil tindakan atas tuduhan komplot menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Harun.
"Perlu diingat, pemimpin-pemimpin ini adalah pemimpin nombor satu di negara dan di negeri Melaka sama seperti Khairy Jamaluddin dan Khairul Azwan Harun yang menjadi pemimpin utama dalam institusi Pemuda UMNO.
"Jauh daripada memohon maaf apabila terkhilaf, kenyataan Mohd Rafiq terus menerus mengisytihar lawan tuan, bukan hanya satu tuan, tetapi semua tuan habis dikecam tanpa ragu-ragu atau rasa hormat. UMNO tak perlu pejuang agenda peribadi yang beremosi," katanya kepada Astro AWANI di sini, baru-baru ini.
Shahril berkata demikian ketika mengulas tindakan Mohd Rafiq bersama 28 ahli UMNO yang mendakwa mempunyai jawatan di peringkat bahagian dan cawangan mengumumkan keputusan mereka untuk keluar dari parti pada Sabtu.
Mohd Rafiq turut mendakwa Khairy tidak jujur sewaktu menyelar tindakan ganas anggota Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai kumpulan Baju Merah.
Menurutnya, Khairy sebagai Ketua Pemuda mengetahui bahawa kumpulan Gerakan Baju Merah turut terdiri daripada ahli-ahli Pemuda UMNO.
Malah katanya, sesetengah dari ahli UMNO yang aktif dalam kumpulan itu termasuk mereka yang mempunyai jawatan dan dikenali ramai. Dalam pada itu Shahril turut mempersoalkan tindakan Mohd Rafiq yang tidak keluar parti lebih awal semasa masih berjawatan sebelum ini.
"Jika benar dia khuatir keadaan parti dan tindakan kerajaan seperti didakwa dalam kenyataannya, mengapa tidak bersuara mengkritik dan keluar parti lebih awal lagi? Mengapa setelah tiada jawatan dan kepentingan barulah tergerak hati melakukan sidang media dan sebagainya?
"Semua tuduhan panjang lebar yang diberi tidak ubah seperti modal basi yang dikitar semula dari kritikan-kritikan lama yang digunakan pemimpin pembangkang sebelum ini gimik untuk perjuangan peribadi dengan apa alasan sekalipun tiada tempat di dalam perjuangan UMNO.
"Mohd Rafiq memperlekeh pendirian kami di bawah Khairy yang sanggup dilabel macai demi mempertahankan Presiden tetapi hakikatnya lebih mulia diperlekeh mempertahankan pemimpin dan institusi daripada tak henti-henti melawan ketua," jelasnya.
Pada awal September lalu, Lembaga Disiplin UMNO menggantung keahlian Mohd Rafiq selama enam tahun atau dua penggal pemilihan kerana didapati menghasut dan merancang melakukan sabotaj terhadap Perdana Menteri dan Idris (Haron).
melalui satu program bicara bersama Tun Dr Mahathir Mohamad yang dicadangkan dianjurkan di Melaka pada tahun lepas.
#Mohd Rafiq #najib #Permuda UMNO #shahril
;