Tolak calon yang 'menuang tuba' dalam perpaduan rakyat Sarawak - Uggah

Nuzuluddin Abdul Razak
Oktober 15, 2022 14:25 MYT
Uggah menyeru pengundi menolak calon yang menjaja isu perkauman sebagai modal kempen kerana ia hanya akan menjejaskan keharmonian kaum di Sarawak - Foto Bernama
SPAOH: Calon-calon yang bertanding semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditegaskan untuk tidak sama sekali membangkitkan isu perkauman semasa menjalankan kempen.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata perbuatan seperti itu diibaratkan seperti menuang tuba atau racun ikan ke dalam negeri yang sarat dengan masyarakat pelbagai kaum ini.
“Ia adalah taktik berkempen yang paling negatif, dan tidak beretika untuk memancing undi terutama dalam sebuah negeri yang jelas menjadi lubuk kepada perpaduan serta keharmonian kaum dalam negara ini,” katanya semasa perjumpaan bersama guru-guru KEMAS di sini pada Sabtu.
Timbalan Presiden I, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu menyeru agar rakyat negeri itu menolak sekeras-kerasnya calon yang berkempen dengan cara sedemikian.
“Ia adalah harapan kita untuk mengekalkan status perpaduan tersebut dan kita perlu menolak mana-mana calon yang memanfaatkan isu perkauman untuk memenangi undi daripada rakyat.
“Pada Pilihan Raya Negeri yang lalu pihak pembangkang sentiasa menyuarakan dakwaan meleset berkenaan kekurangan pembangunan terhadap kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” ujarnya lanjut.
#PRU15 #PBB #perpaduan #Douglas Uggah Embas
;