"Tolak Anwar, tolak DAP" - Hishammuddin pula bersuara

Hasimi Muhamad
Oktober 17, 2020 10:29 MYT
Selain nama dan tandatangan Ahmad Zahid sebagai pengutus, surat tersebut turut dilihat mempunyai tandatangan ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai saksi akuan berkenaan.
KUALA LUMPUR: Pemimpin-pemimpin UMNO nampaknya mula bersuara selepas tular sepucuk surat kononnya Presiden parti Melayu itu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri yang baharu.
Terbaharu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan bahawa beliau tidak pernah menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebagai Perdana Menteri.
"Seperti yang dikatakan oleh Ahmad Zahid, beliau tidak boleh menghalang Ahli-Ahli Parlimen untuk menyokong Anwar.
"Tetapi jika surat itu benar, saya tidak mendapat maklumat, dan ini bukan pendirian saya (menyokong Anwar) sebagai Ahli Parlimen UMNO.
"Saya ingin menyatakan secara tegas bahawa saya tidak menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri," katanya dalam entri di laman Twitter, pada Sabtu.

As @DrZahidHamidi said before, he cannot stop MPs from supporting Anwar. But if the letter is true, I was NOT consulted, and this is NOT my position as an UMNO MP. I want to categorically state that I do NOT support @anwaribrahim as PM. I have been consistent - NO ANWAR NO DAP.

— Hishammuddin Hussein (@HishammuddinH2O) October 17, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam kemas kini sama, bekas Naib Presiden UMNO itu mengulangi pendirian bahawa beliau secara konsisten menolak Anwar dan DAP.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin turut memaklumkan bahawa jika surat tersebut benar, ia jelas tidak mewakili pendiriannya.
BACA: Khairy gesa Ahli Parlimen UMNO nyatakan pendirian
Terdahulu, dalam satu surat bertarikh 11 Oktober 2020, yang didakwa dihantar Ahmad Zahid sendiri kepada Yang di-Pertuan Agong, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa berkata, sokongan tersebut turut didukung ahli-ahli Parlimen UMNO.
Selain nama dan tandatangan Ahmad Zahid sebagai pengutus, surat tersebut turut dilihat mempunyai tandatangan ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai saksi akuan berkenaan.
Bagaimanapun, dua jam lalu UMNO menafikan sekeras-kerasnya surat tersebut dan meminta semua pihak supaya tidak terpedaya dengan surat palsu berkenaan.
#Perdana Menteri #Khairy Jamaluddin #Hishammuddin Hussein #Anwar Ibrahim #Parti Keadilan Rakyat #DAP #PKR #UMNO #Melayu #presiden