Tinggalkan amalan ketuanan Melayu yang terlalu selesa - Perwakilan UMNO Johor
Rahimah Abdullah
Disember 7, 2019 11:30 MYT
Disember 7, 2019 11:30 MYT
UMNO perlu meninggalkan amalan ketuanan Melayu yang terlalu selesa, ujar Perwakilan UMNO Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.
Jelasnya, tidak salah untuk berbangga menjadi 'tuan tanah', namun perlu mempunyai kelebihan yang tersendiri.
Jika kejayaan berjaya dicipta orang Melayu, barulah mereka dipandang tinggi, tambah Mohd Jafni.
"Kita mesti belajar tinggalkan amalan ketuanan Melayu yang terlalu selesa menjadi tuan tanah. Ya, kita bangga menjadi tuan tanah.
"Tetapi kita harus biarlah berkadaran. Lebih dari itu kita mestilah jadi lebih terpelajar, lebih kaya, lebih terhormat dari sekarang, barulah orang Melayu akan dipandang tinggi," katanya semasa membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, pada Sabtu.
Tambahnya, Muafakat Nasional perlu mempunyai agenda eksklusif untuk semua kaum di negara ini.
"Saya nak kongsi cara Johor mengenai matlamat dan hala tuju, sebagai pejuang bangsa dan agama kita mahu Muafakat Nasional adalah agenda ekslusif untuk semua kaum di neara ini, dengan sesuaikan keadaan sekarang dan kekalkan terasnya iaitu Islam, Melayu dan Malaysia," katanya lagi.
Selain itu, Muafakat Nasional perlu menunjukkan Islam sebagai agama yang progresif dan sebagainya.
#ketuanan Melayu
#Mohd Jafni Md Shukor
#orang Melayu
#orang Melayu dipandang tinggi
#PAU2019
#PWTC
#tuan tanah
#UMNO