Tindakan Zuraida letak jawatan tidak jejas kerajaan Kedah - Menteri Besar

Abd Hadi Che Awang
Mei 26, 2022 18:34 MYT
Tindakan Datuk Zuraida Kamaruddin meninggalkan Bersatu tidak akan menjejaskan pentadbiran atau mengubah kerajaan negeri Kedah, kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Gambar Astro AWANI
BUKIT KAYU HITAM: Tindakan Datuk Zuraida Kamaruddin meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta meletakkan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi tidak akan menjejaskan pentadbiran atau mengubah kerajaan negeri Kedah.
Sebaliknya, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang akan terkesan dengan keputusan dibuat Ahli Parlimen Ampang itu ialah kerajaan Persekutuan kerana Zuraida merupakan salah seorang daripada anggota Kabinet.
"Saya (sebenarnya) tidak tahu Zuraida buat apa, baru saja umum (letak jawatan)…, saya pun tak sempat nak mengkaji kesan (daripada tindakan itu), dia ikutkan (beri kesan kepada kerajaan) Persekutuan, (dan) saya rasa tidak ada apa (kesan kepada kerajaan negeri Kedah)," ujar Muhammad Sanusi secara berseloroh.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Hub E-Dagang di sini, pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu, Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail menzahirkan keyakinan bahawa kesemua enam ADUN Bersatu akan menyokong kepimpinan Menteri Besar Kedah ketika ini.
Beliau turut mengesahkan bahawa tiada sebarang gerakan daripada ADUN-ADUN di pihak kerajaan untuk menarik sokongam atau menyeberang ke parti pembangkang.
"Jadi yang enam Bersatu ini, saya yakin dan percaya akan kekal bersama kerajaan dan (ADUN) UMNO masih kekal kerajaan, jadi saya tak nampak sebarang gerakan ataupun dengar sebarang gerakan dalam kalangan ahli yang sebelah kerajaan akan menyeberang mana-mana.
"Saya penuh yakin kerajaan yang ada di Kedah ini akan (kekal) sampai pilihan raya akan datang," kata Dr Ku Abdul Rahman.
Terdahulu, Zuraida mengumumkan keputusannya meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ahli Parlimen Ampang itu turut mengumumkan keputusannya meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Untuk rekod, kerajaan Negeri Kedah pimpinan Sanusi ketika ini memiliki 23 kerusi DUN dengan PAS mempunyai kerusi tertinggi iaitu 15 kerusi diikuti Bersatu (6 kerusi) dan Barisan Nasional (dua kerusi).
Pakatan Harapan pula memiliki 11 kerusi iaitu PKR (5 kerusi), Parti Amanah Negara (4 kerusi) dan DAP (2) sementara dua lagi kerusi dimiliki Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
#Zuraida Kamaruddin letak jawatan #kerajaan Kedah #Zuraida tinggalkan Bersatu #Menteri Besar Kedah
;