Tindakan Zuraida keluar parti menunjukkan Bersatu semakin lemah - Ahmad Maslan
Astro Awani
Mei 27, 2022 20:39 MYT
Mei 27, 2022 20:39 MYT
PONTIAN: Keputusan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraidah Kamaruddin yang keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), menunjukkan parti di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu semakin lemah.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu tidak akan berlaku sekiranya Akta Antilompat Parti segera dikuatkuasakan.
Katanya, Rang Undang-Undang Antilompat Parti perlu dibentangkan di Parlimen pada Julai ini biarpun tiada sidang dewan khas.
"Apabila Bersatu telah kehilangan seorang ahli parlimen, pada pandangan saya mereka mahu seorang lagi menteri dari Bersatu itu tidak dijadikan tekanan kepada PM.
"Mereka bukan semakin kuat tetapi lemah, apabila parti lemah nak minta lagi kuota yang sama. Kita kena beri kebebasan kepada PM untuk pilih, jika perlu merombak itu adalah hak prerogatif PM," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka UMNO Pontian dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut di Pontian, Johor.
Pada Khamis, Zuraidah mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi selepas melompat parti dari Bersatu ke PBM.