Tindakan terhadap Muhyiddin kerana langgar disiplin, bukan kerana isu - Rahman Dahlan
Bernama
Disember 9, 2015 07:29 MYT
Disember 9, 2015 07:29 MYT
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata tindakan boleh dikenakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana beliau melanggar peraturan disiplin UMNO dan bukannya kerana isu yang dibangkitkan.
"Saya bersetuju kalau tindakan diambil... tapi bukan kerana pertanyaan tentang 1MDB ataupun RM2.6 bilion, itu bukan masalah.
"Yang kita ambil tindakan adalah soal disiplin parti sebab sebelum ini Majlis Tertinggi UMNO (MT) telah beri arahan kepada presiden dan timbalan presiden supaya tidak lagi membincangkan soal ini di luar dan (sebaliknya) gunakan platform MT sebagai landasan untuk bertanya," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melawat Laman Media Perhimpunan Agung UMNO 2015, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini pada Rabu.
Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional itu berkata MT UMNO adalah badan tertinggi dalam parti dan sebarang arahan yang dikeluarkan oleh badan itu perlu dipatuhi.
Abdul Rahman berkata Muhyiddin perlu hadir pada mana-mana sesi Perhimpunan UMNO 2015 bagi melihat sokongan para perwakilan terhadap presiden parti yang amat memberangsangkan.
Katanya hal ini penting untuk Muhyiddin mengetahui situasi sebenar.
"Kita tengok semalam (majlis Amanat Presiden UMNO) pun kerusi (Muhyiddin) kosong, maknanya UMNO mengalu-alukan timbalan presiden untuk hadir dalam perjumpaan ini.
"Bila dia tidak hadir, dia tidak dapat merasai 'body language' dan respons daripada perwakilan terhadap apa yang dikatakan oleh presiden," katanya.
Sementara itu Abdul Rahman berpendapat cadangan untuk mengehadkan tempoh presiden UMNO memegang jawatan selama dua penggal akan menjejaskan perancangan jangka panjang presiden terhadap parti.
Cadangan supaya UMNO mengehadkan tempoh presiden parti memegang jawatan selama dua penggal dibangkitkan Muhyiddin dalam ucapannya pada satu majlis di Kampung Baru di sini Isnin lepas.