Tindakan tegas terhadap ahli UMNO yang sabotaj - Annuar Musa

Azyyati Ahmad
April 21, 2018 06:00 MYT
ANNUAR: Kumpulan 16 yang membawa isu status UMNO ke mahkamah sebenarnya telah diketahui bukan lagi ahli UMNO pada prinsipnya. - Gambar fail/Astro AWANI
Mana-mana ahli yang gagal membuktikan kesetiaan kepada parti, termasuk mensabotaj parti dengan apa jua tindakan sekalipun mesti dihadapkan dengan tindakan paling tegas mengikut segala peraturan sedia ada.
Kata Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, sebagai sebuah parti yang besar dan berwibawa, UMNO mesti hanya dianggotai oleh ahli-ahli yang setia, jujur dan komited.
"Kumpulan 16 yang membawa isu status UMNO ke mahkamah sebenarnya telah diketahui bukan lagi ahli UMNO pada prinsipnya.
"Tindakan mereka memudahkan sedikit ibu pejabat UMNO bertindak, dan pemecatan mereka bererti mereka tidak lagi mempunyai wibawa dan locus standi untuk mencampuri urusan UMNO," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
BACA: 16 ahli UMNO dipecat, heret hal parti ke mahkamah
Tambah Annuar, kesemua 16 bekas ahli UMNO berkenaan telah lama menjadi pembelot dan adalah aktivis pembangkang.
Pada Jumaat, 16 ahli UMNO memfailkan semakan kehakiman bagi memohon parti itu dibubarkan atas dakwaan gagal mengadakan pemilihan parti sejak 2013.
Dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan tiga minggu menjelang PRU14, kumpulan itu mendakwa kelulusan RoS untuk UMNO menangguhkan pemilihannya ke tahun depan melanggar Perlembagaan parti itu.
Enam belas ahli UMNO dari lima negeri itu juga dipecat berkuat kuasa pada Sabtu.
#Annuar Musa #PRU14 #Tan Sri Annuar Musa #UMNO
;