'Tindakan Ronnie Liu biadap' - Maszlee gesa pimpinan DAP disiplinkan ahli

Hakim Rahman
Oktober 23, 2019 11:13 MYT
Dr Maszlee menyifatkan tindakan Ronnie Liu sebagai biadap dan membawa perpecahan PH. -Astro AWANI/Shahir Omar
Tindakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu merendah-rendahkan parti komponen lain disifatkan sebagai biadap dan sangat tidak berasas.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Maszlee Malik berkata tindakan tersebut hanya akan membawa lebih banyak perpecahan dan membantutkan agenda reformasi yang sedang dilaksanakan Pakatan Harapan.
Malah, katanya, mana-mana ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan agar kembali mematuhi semangat “rule of law” dan juga “collective responsibility”.
“Saya juga ingin menggesa pimpinan DAP untuk mendisiplinkan ahli-ahli mereka agar menghormati keputusan kerajaan dan patuh terhadap perlembagaan dan undang-undang negara.
”Kedua perkara inilah yang membina negara kita,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di akaun Facebook miliknya pada Rabu.
Maszlee menyifatkan tindakan merendah-rendahkan parti komponen lain sebagai satu budaya politik murahan yang hanya akan merosakkan keadaan.
"Ia membawa lebih banyak perpecahan malah membantutkan agenda reformasi yang sedang kita laksanakan," tambah Maszlee.
BACA: KPM tidak benarkan edaran komik berdasarkan undang-undang - Maszlee
BACA: Komik propaganda: Pengarang, penulis akan dipanggil untuk beri keterangan - Muhyiddin
BACA: Komik propaganda: KPM tidak pernah luluskan pengedaran komik
BACA: Komik propaganda: DAP Pulau Pinang tiada kaitan dengan Muzium Kebudayaan Komik Asia
Ronnie sebelum ini menyatakan gabungan PH akan kekal kukuh sebagai kerajaan walaupun tanpa Bersatu dan mendakwa Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sering membuat keputusan yang bercanggah dengan kepimpinan PH.
#Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat #Biadap #budaya politik #Mahathir Mohamad #Maszlee Malik #pengedaran komik #politik murahan #Ronnie Liu
;