Tindakan pemimpin keluar parti lumrah politik - Anifah Aman

Faris Danial Razi
Disember 17, 2021 23:24 MYT
Jelas Anifah, tindakan segelintir pemimpin-pemimpin tersebut keluar parti berkemungkinan disebabkan khuatir tidak terpilih lagi untuk menjawat jawatan penting parti. - BERNAMA
KOTA KINABALU: Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman menganggap tindakan beberapa pemimpin tertinggi mengumumkan keluar parti itu sebagai lumrah politik.
Jelas Anifah, tindakan segelintir pemimpin tersebut berkemungkinan disebabkan khuatir tidak terpilih lagi untuk menjawat jawatan penting parti apabila terdapat rombakan dalam PCS yang dijadualkan dalam tempoh terdekat.
“Sebagai ahli politik yang matang, kita tidak boleh halang mereka untuk meninggalkan parti dan adalah hak mereka untuk membawa haluan masing-masing dalam kancah politik negara.
"Namun, saya juga tegaskan di sini, PCS tetap berdiri utuh dalam terus memperjuangkan hak-hak Sabah terutamanya berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak rakyat negeri Sabah.
"Saya juga dengan itu, turut ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan semoga jaya kepada mereka walaupun berlainan platform nanti, saya berharap usaha memperjuangkan hak rakyat Sabah akan terus diutamakan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
BACA: Parti Cinta Sabah retak, beberapa pemimpin kanan umum keluar parti
Sementara itu, Anifah dalam masa sama menyangkal dakwaan PCS bakal berkubur dalam arena politik tempatan kerana isu berkenaan, sebaliknya beliau menegaskan parti itu kian utuh dan semakin diterima oleh rakyat Sabah.
Laporan media hari ini melaporkan beberapa pemimpin tertinggi PCS bertindak keluar parti, termasuk Datuk Ewon Ebin (Naib Presiden), Amru Abdul Kadir (Naib Presiden), Datuk Kalakau Untol (AJK Tertinggi) dan beberapa lagi pemimpin lain.
Untuk rekod, kebanyakan pemimpin PCS yang bertindak keluar pada hari ini terdiri daripada mereka yang bertanding dan hilang deposit dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN) Sabah dahulu dan sebelumnya.
Politik | Pemimpin & ahli PCS tinggalkan parti beramai-ramai
#Anifah Aman #undang-undang #Parti Cinta Sabah #lumrah politik
;