Tindakan pecat Muhyiddin, Mukhriz untuk kembalikan disiplin anggota parti - Mustapa

Bernama
Jun 25, 2016 12:35 MYT
MUSTAPA: "Kita ada satu undang-undang, tak boleh kecualikan mana-mana pihak daripada mana-mana tindakan." - Gambar fail
Tindakan UMNO memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir semalam adalah untuk mengembalikan disiplin anggota parti, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata langkah itu terpaksa diambil bagi menjaga kepentingan umum parti sekali gus memberi amaran kepada mana-mana anggota supaya tidak melanggar disiplin pada masa depan.
"Kita ada satu undang-undang, tak boleh kecualikan mana-mana pihak daripada mana-mana tindakan. Jika tiada disiplin maka runtuhlah parti. (Maka) demi menjaga kepentingan umum maka tindakan tegas perlu diambil.
"Ini menunjukkan kita cintakan parti, kita mahu mengembalikan disiplin dan (memberi) amaran kepada pihak yang melanggar disiplin parti. Kita adalah satu organisasi, ada peraturan, maka tiada siapa yang terkecuali," katanya.
BACA: 'Saya tidak dapat makluman rasmi, hanya tahu menerusi berita' - Mukhriz
BACA: Ismail Mohamed pangku jawatan Ketua UMNO Bahagian Pagoh
Mustapa ditemui pemberita selepas melawat Mek Som Mat Diah, 89, di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini. Warga emas itu putus kaki kiri akibat ditetak remaja lelaki di Pasir Mas, Ahad lepas.
Majlis Tertinggi UMNO semalam memecat Muhyiddin dan Mukhriz kerana melakukan pelanggaran disiplin manakala Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung keanggotaannya sehingga Majlis Tertinggi menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.
Mustapa yakin sebarang kesan susulan pemecatan dua anggota parti itu akan hanya bersifat sementara dan tidak terlalu menjejaskan parti.
"Kalau kita kata tak ada kesan langsung itu mustahillah, kesan tetap ada sehari dua ini tetapi (lama-kelamaan) anggota parti akan faham. Kalau ada pun tak banyak dan ia bersifat sementara dan akhirnya kita akan bertaut kembali," katanya.
Beliau turut melawat Ketua Biro The Star Kelantan Syed Azhar Alqadri yang menjalani pembedahan pintasan jantung pada 11 Jun lepas, di hospital sama.
#majlis tertinggi #MT #Muhyiddin Yassin #Mukhriz Mahathir #Mustapa Mohamed #Najib Razak #pecat #UMNO
;