Tindakan pecat Hamidah bercanggah dengan semangat Perlembagaan UMNO - Muhyiddin

Nazam Yusuff
November 27, 2015 23:44 MYT
MUHYIDDIN: Jika benar dakwaan Datuk Hamidah bahawa beliau tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin untuk membela diri, maka tindakan memecat beliau daripada parti adalah jelas bercanggah dengan semangat Perlembagaan UMNO. -Gambar fail
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yasin melahirkan rasa kesal berhubung cara pemecatan Datuk Hamidah Osman daripada UMNO yang menurutnya banyak berjasa kepada parti dan kerajaan.
Dalam entri terbaru di akaun Facebooknya, Muhyiddin berkata apa yang menjadi persoalan ialah asas dan proses pemecatan Hamidah daripada parti kerana berdasarkan kenyataan Hamidah, pertuduhan ke atas beliau adalah kerana menghadiri majlis bersama bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Saya ingin bertanya, adakah menghadiri satu majlis bersama bekas Presiden UMNO, yang turut dihadiri oleh ramai pemimpin dan ahli UMNO yang lain, merupakan satu kesalahan disiplin? Jika ia adalah satu kesalahan disiplin, maka saya rasa ramailah ahli UMNO yang terpaksa dilucutkan keahlian mereka dan tinggallah UMNO sebagai parti yang semakin kehilangan ahli dan penyokong.
"Dato' Hamidah juga menyatakan bahawa beliau tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin UMNO. Justeru, adakah cara pemecatan Dato' Hamidah mematuhi kehendak Perlembagaan UMNO dan prinsip 'due process of law'? Saya tidak fikir pemecatan seseorang ahli boleh dibuat dengan hanya menghantar surat tunjuk sebab tanpa memanggil ahli yang berkenaan membela diri," ujarnya.
Tambah beliau, ada pihak yang berhujah Majlis Tertinggi UMNO boleh memecat seseorang ahli tanpa perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin sepertimana yang berlaku dalam kes pemecatan keahlian Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.
Jelas Muhyiddin, dakwaan tersebut hanya menunjukkan bahawa mereka tidak memahami sejarah kerana Lembaga Disiplin hanya diwujudkan selepas Pindaan Perlembagaan UMNO pada tahun 2000, iaitu dua tahun selepas Anwar dipecat daripada parti.
"Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan UMNO pada waktu itu, saya telah mengusulkan supaya satu Lembaga Disiplin yang bebas dan terdiri daripada ahli-ahli yang tidak berkepentingan dalam parti diwujudkan. Tujuannya ialah supaya sebarang keputusan yang diambil oleh Lembaga Disiplin tidak berat sebelah, `without fear or favour', adil, telus dan pihak yang diadili akan dapat menerima keputusan yang dijatuhkan keatasnya.
"Jika benar dakwaan Dato' Hamidah bahawa beliau tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin untuk membela diri, maka tindakan memecat beliau daripada parti adalah jelas bercanggah dengan semangat Perlembagaan UMNO.
"Selain itu, pemecatan keahlian di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO juga seharusnya menjadi pilihan terakhir terhadap seseorang ahli jika beliau telah melakukan satu kesalahan besar yang melanggar Perlembagaan UMNO dan Tataetika Ahli UMNO" jelas Muhyiddin dalam catatannya hari ini.

Saya berasa amat kesal dan dukacita dengan cara pemecatan YBhg Dato' Hamidah Osman daripada UMNO. Sebagai bekas Ketua...

Posted by Muhyiddin Yassin on Friday, November 27, 2015
Beliau memaklumkan bahawa sedar sebagai Ahli MT, beliau terikat dengan sesuatu keputusan yang telah dibuat oleh MT. Cuma adalah menjadi kewajipannya untuk menyatakan pandangannya mengenai sesuatu perkara yang dilihat bercanggah dengan kehendak Perlembagaan parti.
"Saya bimbang beberapa perkara pelik yang berlaku di dalam UMNO sejak kebelakangan ini membayangkan semakin terhakisnya sikap bertanggungjawab, adil dan beramanah dalam kalangan sesetengah pemimpin parti" tambahnya.
"Jangan dihiris hati orang Melayu dengan tindakan tidak amanah dan tidak bertanggungjawab!
Muhyiddin turut mengingatkan bahawa UMNO bukan milik mana-mana individu, sebaliknya parti milik seluruh umat Melayu.
#ahli MT #Hamidah Osman #Lembaga Disiplin #Muhyiddin #pemecatan #UMNO
;