Tindakan keluar parti tidak rencat perjuangan Pemuda UMNO - Akmal Saleh
Bernama
Ogos 5, 2023 11:10 MYT
Ogos 5, 2023 11:10 MYT
MELAKA: Tindakan keluar UMNO beramai-ramai termasuk melibatkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Afiq Amani Annuar semalam tidak merencatkan semangat perjuangan ahli lain untuk terus setia kepada parti.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dalam kenyataan hari ini berkata, Pemuda akan terus istiqamah dalam meneruskan dan menggalas tanggungjawab diberikan untuk memperkukuhkan parti.
"Pemimpin itu datang dan pergi, patah tumbuh hilang berganti. Perjuangan UMNO tetap diteruskan.
"Suka untuk saya ingatkan dan berpesan kepada rakan-rakan Pemuda UMNO, perjuangan kita ini tidak berlandaskan individu atau mana-mana figura politik tetapi pejuangan Pemuda UMNO adalah untuk meneruskan fungsi dan peranan institusi dalam merekrut anak muda, memelihara perjuangan agama, bangsa dan tanah air," katanya.
Media semalam melaporkan selain Afiq Amani, turut mengumumkan keluar UMNO adalah Ketua Penerangan Pemuda bahagian itu, Ahmad Syauqi Mazlan.
Dr Muhamad Akmal berkata, berikutan perkembangan itu, jawatan Pemuda UMNO Bahagian Ketereh dipangku Naib Ketua Pemuda bahagian Azhan Ishak.
-- BERNAMA