Tindakan keluar Bersatu sia-sia, memalukan - Ahmad Humaizi

Astro Awani
Januari 29, 2022 05:07 MYT
Ahmad Humaizi mendakwa, tindakan keluar parti selepas pembubaran DUN juga bersifat politik dendam dan penakut. - Facebook Ahmad Humaizi
KUALA LUMPUR : Tindakan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Johor keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disifatkan sebagai sia-sia.
Ketua Bersatu Bahagian Labis, Ahmad Humaizi Uzir berkata, langkah itu sekali gus memalukan diri serta penyokong mereka.
"Tindakan itu tidak sesekali meninggalkan sebarang kesan terhadap Bersatu, sama ada di peringkat negeri mahupun bahagian serta keseluruhan penyokong dan pendukung Parti Perikatan Nasional (PN).
"Malah tidak juga kepada pengundi di negeri Johor," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Ahmad Humaizi juga menyifatkan tindakan keluar parti selepas pembubaran DUN sebagai politik dendam dan penakut.
BACA: PRN Johor: Mazlan Bujang keluar parti, mana maruah dia? - Muhyiddin
Dalam masa sama, katanya, individu berkenaan mungkin sudah tahu dirinya tidak dicalonkan atas kegagalan menunjukkan prestasi yang bagus sebagai ADUN dan Exco Kerajaan Johor.
"Sebagai ahli parti, saya menzahirkan rasa simpati terhadap nasib penyokong dan pendukung kedua-dua bekas ADUN dan Exco Kerajaan Johor ini.
"Saya juga ingin mengambil kesempatan mencabar mereka bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya yakin pengundi akan mengundi mereka semula," tegasnya.
Semalam, Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Datuk Mohd Izhar Ahmad mengumumkan keputusan meninggalkan Bersatu atas alasan hilang kepercayaan kepada Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Terdahulu pada Khamis, Ketua Bahagian Bersatu Tebrau Mazlan Bujang mengumumkan dia dan 23 ahli bahagian lain keluar Bersatu serta-merta.
#PRN Johor #keluar parti #Bersatu #Ahmad Humaizi Uzir
;