Tindakan Daroyah tidak jejaskan PKR dan PH Selangor - Amirudin Saari

Hilmi Malik
Jun 24, 2020 14:40 MYT
Amiruddin yakin PKR dan Pakatan Harapan Selangor masih utuh dan tidak terjejas dengan tindakan Daroyah. - Gambar Fail
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) Selangor tidak terjejas dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi melepaskan semua jawatannya.
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Selangor (PKR), Datuk Seri Amirudin Saari berkata perkara itu bukan sesuatu yang baharu dan berdasarkan pengalaman, PKR telah berdepan dengan beberapa tindakan yang sama dalam kalangan ahli parti itu.
Malah beliau berkata berdasarkan apa yang telah berlaku, PKR semakin kukuh selepas beberapa pemimpin meninggalkan parti sebelum ini.
"Kalau sebelum ini kita ada dua Timbalan Presiden keluar parti, kita ada Ketua Wanita yang keluar parti tetapi kita tetap teruskan dan masih ada majoriti besar di Selangor malah ini satu pengajaran baik untuk parti.
"Saya yakin itu yang terakhir, apa yang berlaku melibatkan sebahagian sahaja, kita ada 10 jawatankuasa yang dilantik dan menang ketika pemilihan lepas mahu kekal terus menyokong parti dan kerajaan PH.
"Kalau sudah keluar tu keluarlah, parti sudah buang sejumlah ahli termasuk tindakan disiplin atau keluar dengan rela dan beberapa kesalahan sekarang kita terus ke depan dan jangan kenang mereka yang telah pergi," katanya pada sidang media di SUK Selangor pada Rabu.
Daroyah merupakan wakil rakyat terbhaaru yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden PKR dan Menteri Kanan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meninggalkan parti itu.
Bekas Timbalan Ketua Wanita PKR itu berkata, keputusan berkenaan dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti yang dipimpin Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tindakan Daroyah meninggalkan parti menjadikan kerusi PKR DUN Selangor kini menjadi 18 kerusi bagaimanapun PKR masih kekal parti terbesar dalam PH.
Setakat ini, PH masih menguasai 42 kerusi di Dewan Undangan Negeri yang dianggotai seramai 56 orang.
#ADUN #Amirudin Saari #Daroyah Alwi #Pakatan Harapan #PKR #Selangor #Sementa
;