Tindakan BN, UMNO rosakkan Sabah - Hamzah
Abdul Hafiz Mustadi
Januari 8, 2023 16:49 MYT
Januari 8, 2023 16:49 MYT
KOTA KINABALU: Tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Haji Noor disifatkan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai tidak menghormati penjanjian yang dipersetujui oleh BN Sabah dan merosakkan negeri itu.
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata beliau sedia menunjukkan isi kandungan perjanjian di antara BN dan Perikatan Nasional (PN) untuk meleraikan kekeliruan rakyat terhadap pergolakan politik yang berlaku di Sabah pada ketika ini.
“Apa yang dilakukan oleh UMNO ni boleh merosakkan negeri Sabah itu sendiri. Perjanjian yang dibuat semasa perlantikan Hajiji dan Bung Moktar ianya sepatut diterima oleh semua pihak. Hajiji telah pun melantik mengikut apa yang telah pun dijanjikan dalam perjanjian.
“Sementara itu UMNO juga sepatutnya mengikut perjanjian yang ada. Jadi kalau apa-apa berlaku apabila Bung Moktar mengumumkan untuk keluar daripada menyokong Datuk Seri Hajiji, saya akan tunjukkan perjanjian itu nanti.
"Biar rakyat memahami bahawa ini adalah satu kumpulan yang langsung tidak faham apa itu perjanjian ataupun langsung tidak mempunyai sifat untuk mengikut atau menghormati perjanjian yang dia sendiri tandatangan," ujar Hamzah dalam satu siding media di Kota Kinabalu pada Ahad.
Tambah Ahli Parlimen Larut itu lagi, tidak timbul persoalan sama ada Bersatu menyokong Hajiji atau sebaliknya memandang di peringkat negeri tiada satu kerusi dimiliki oleh ADUN Bersatu.
"Persoalan yang perlu diajukan adalah bagaimana UMNO sanggup menimbulkan permasalahan kepada negeri ini. Di antara Bersatu dan Hajiji adalah antara kami di peringkat dalaman.
"Persoalannya bagaimana UMNO boleh mencipta masalah sebegini kepada negeri ini. Di antara Hajiji dan Bersatu itu masalah dalaman kita. Bagi negeri Sabah untuk rakyat bagaimana UMNO boleh buat macam ini," katanya lagi.