Tindakan bawa Ketua Cawangan pergi bercuti tidak perlu dipertikaikan - Hasrul
Astro Awani
Januari 4, 2023 06:15 MYT
Januari 4, 2023 06:15 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan Datuk Seri Dr Adham Baba membawa ketua-ketua cawangan menghadiri retreat di Surabaya, bukan satu perkara yang perlu dipertikaikan.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Tenggara, Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman, sebagai memberi reaksi kepada kenyataan Datuk Lokman Noor Adam yang mempertikaikan tindakan itu berkata, ia sesuatu yang kelakar dan hairan apabila hal itu dibangkitkan.
“Adakah tidak boleh seorang ketua bahagian (KB) membawa ketua-ketua cawangan beliau pergi bercuti?
“Kalau ya pun ada berita tidak jelas, pasti Datuk Lokman boleh menelefon Datuk Seri Adham untuk bertanya berkenaan perkara ini, bukannya menuduh secara terbuka.
“Ketua cawangan ini ibarat mata dan telinga ketua bahagian di setiap cawangan. Beliau menjadi tempat rujukan masyarakat setempat, tempat mengadu dan segala permasalahan akan dibawa kepada ketua bahagian dan juga wakil rakyat untuk diselesaikan.
“Khidmat mereka ini adalah secara sukarelawan dan bukannya mendapat gaji tetap setiap bulan,” jelas Hasrul menerusi perkongsiannya di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Lokman mendakwa Adham cuba mempengaruhi pemimpin cawangan di bawah bahagian Tenggaranya untuk mengundi Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Presiden UMNO yang baharu.
Lokman mengutarakan perkara itu dalam satu video di YouTube yang memberitahu Adham menyebut sedemikian dalam ucapannya ketika membawa rombongan ketua-ketua cawangannya di Surabaya, Indonesia baru-baru ini.
Tambahnya, pertikaian Lokman terhadap penglibatan setiausaha politik Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam retreat berkenaan juga amat dangkal kerana Datuk Abdul Halim juga merupakan ketua cawagan dalam bahagian Tenggara.
“Yang paling menjelikkan adalah ada pihak yang melagakan siap menghantar gambar-gambar ketika retreat dengan membawa naratif songsang dan mengelirukan.
“Orang yang berjalan seperti gunting sangat bahaya kerana apabila mereka berjalan mereka memutuskan. Jangan kita sesekali lupa akan sejarah. Robohnya Kota Melaka bukan kerana pertahanan yang tidak kuat, namun kerana wujudnya gunting dalam lipatan yang mengkhianat pasukan,” katanya.