Tindakan Akmal Nasir belakangkan Presiden, khianat parti
Ridauddin Daud
Disember 13, 2020 12:07 MYT
Disember 13, 2020 12:07 MYT
KUALA LUMPUR : Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir didesak meletakkan jawatan susulan penularan perbualan WhatsApp mengaitkannya mempersenda Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu ditegaskan melalui satu kenyataan bersama Naib Ketua AMK, Jestin Raj Savarimuthu dan enam lagi Exco AMK.
Menerusi kenyataan itu, mereka turut mendesak beberapa pimpinan tertinggi AMK terlibat dalam perbualan itu melakukan perkara sama kerana mereka telah hilang keyakinan dari akar umbi AMK termasuk pimpinan tertinggi PKR.
“Dapatlah disimpulkan bahawa mereka yang terlibat dalam perbualan tersebut tidak berpuas hati dengan presiden dan cuba melanggar arahan parti dalam beberapa isu yang dilontarkan.
“Tindakan ini dilihat sebagai cara membelakangkan Presiden dan pengkhianatan terhadap parti. Sehingga hari ini, tiada sebarang permohonan maaf ataupun penjelasan diberikan oleh pimpinan yang terlibat dalam perbualan tersebut terutama Akmal Nasir.
“Beliau juga seolah-olah telah hilang dari umum apabila telefonnya ditutup dan mesej tidak dibalas. Tindakan ini menunjukkan bahawa apa yang dibincangkan dalam perbualan WhatsApp tersebut adalah benar dan beliau tidak dapat mencari idea untuk menafikannya,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, mereka mencadangkan mesyuarat khas Majlis Pimpinan AMK hendaklah dijalankan segera bagi memastikan transisi kepimpinan dan imej parti pulih selepas penghinaan yang telah dilakukan.
“Hasil dari mesyuarat khas ini akan dibawa ke Majlis Pimpinan Pusat untuk tindakan selanjutnya seperti mana yang telah ditetapkan di dalam perlembagaan parti.
“Agenda Reformasi negara dan dukungan sayap Pemuda tanpa berbelah bagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memastikan kejayaan agenda ini,” ujarnya.
Astro AWANI pada Sabtu melaporkan satu perbualan dipercayai membabitkan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK), telah tular, dengan kandungannya antara lain menyelar Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi satu perbualan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris seperti dilihat dan dilaporkan portal MalaysiaNow, perbualan itu jelas menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Anwar, berikutan mereka mendakwa beberapa kali dikecewakan presiden mereka sendiri.
Perasaan itu timbul selepas 'kegagalan' Ahli Parlimen Port Dickson itu membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti sekali gus menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menerusi tangkap layar yang dilihat portal itu, dua pemimpin utama AMK mengkritik Anwar dan mengatakan akar umbi parti dipermainkan dan berterusan bergaduh sesama sendiri.
#AMK
#Angkatan Muda Keadilan
#Anwar Ibrahim
#PKR
#Parti Keadilan Rakyat
#Akmal Nasir
#Exco
#presiden
#pemuda
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#rakyat
#PM
#cukup majoriti
#Ketua AMK