Tindakan 4 ADUN pentingkan diri, bukan untuk rakyat - Wanita UMNO Melaka

Astro Awani
Oktober 5, 2021 06:30 MYT
HARYATY: Saya berasa sedih dan geram dengan politik yang berlaku dalam negeri Melaka. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Wanita UMNO Melaka menyifatkan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai mementingkan diri dan bukan untuk kepentingan rakyat.
Menurut Pengerusi Sekretariat Professional Wanita UMNO Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah, pihaknya berasa sedih dan marah dengan tindakan empat ADUN tersebut.
“Saya berasa sedih dan geram dengan politik yang berlaku dalam negeri Melaka.
“Saya sedih dengan nasib rakyat yang baru mula mencari makan seperti pembawa beca - peniaga kecil, peniaga besar.
"Sedih dengan nasib JPKK yang sedang seronok memberikan khidmat kepada rakyat tiba-tiba kena berhenti.
“Sedih dengan wanita yang sedang bergelut kesusahan ditinggalkan, diancam jenayah, keretakan rumah tangga yang mencari tempat perlindungan kepada sebuah kerajaan yang kukuh dan mantap,” ujarnya melalui satu kenyataan di Facebook malam tadi.
Sumber Facebook haryaty.hamdzah
Haryaty yang juga merupakan Ketua Wanita Kota Melaka berkata tindakan mereka hanya mementingkan diri.
“Realitinya, keempat-empat YB yang tampil dengan alasan 'demi rakyat' adalah YB-YB yang pentingkan diri sendiri bukan perjuangan 'membakar diri'.
“Mereka mengambil kesempatan dan mencari keuntungan diri dengan jawatan yang disandang dalam ketidakstabilan kerajaan.
“Walaupun Pilihanraya Negeri akan berlaku sepertimana pembubaran YB DS Ab Rauf Yusoh yang diumumkan sebentar tadi - Pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti & Pemecatan Ahli Parlimen/ Dun wajar disegerakan pelaksanaannya,” tegasnya lagi.
Beliau turut mengesa agar pengundi dan jentera Wanita UMNO Melaka untuk menolak keempat-empat ADUN tersebut sekiranya mereka bertanding di dalam pilihan raya negeri yang akan datang.
Pada Selasa, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam memberi persetujuan untuk membubarkan DUN.
Perkara itu diumumkan Speaker DUN, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh petang Selasa sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya negeri mengejut.
#ADUN #Melaka #politik melaka #DUN Melaka #bubar DUN #UMNO Melaka #Haryaty Hamdzah
;