Timbalan Menteri dicadang terlibat sesi penggulungan Parlimen Belia Malaysia - PM
Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 15, 2022 19:36 MYT
Jun 15, 2022 19:36 MYT
BANGI: Timbalan Menteri di semua kementerian dicadangkan untuk melibatkan diri pada sesi penggulungan sidang Parlimen Belia Malaysia (PBM) pada masa akan datang.
Perkara itu disarankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melihat adanya keperluan wakil dalam kalangan anggota Kabinet untuk mengambil bahagian dalam persidangan yang diadakan PBM.
"Cuma saya difahamkan yang akan menjawab ataupun menggulung (sidang hari ini) nanti tidak terdiri daripada wakil Kabinet ataupun Timbalan Menteri.
"Saya ingin mencadangkan di masa akan datang macam hari ini mereka membincangkan isu sekuriti makanan yang melibatkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia, untuk menggulungnya saya harap akan datang sekurang-kurangnya Timbalan Menteri yang akan menggulung," katanya kepada media selepas hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Penghargaan Ahli Parlimen Belia Malaysia di sini hari ini.
Jelasnya ia bertujuan bagi kementerian-kementerian terlibat memberikan maklumat terperinci mengenai usul yang dibahaskan.
Justeru katanya segala isu-isu yang dibangkitkan oleh mereka dapat dijawab dalam persidangan tersebut.
"Kita menganggap sidang Parlimen Belia Malaysia ini adalah penting, sebab itu saya nak sekurang-kurangnya Timbalan Menteri supaya datang untuk menjawab," jelasnya lagi.
Perkara itu kata beliau sebolehnya dapat dilaksanakan pada sesi penggulungan sidang PBM yang akan datang.
Selepas tiga tahun tidak bersidang, persidangan PBM kembali diadakan hari ini membabitkan 153 ahli PBM di sebuah hotel di sini.
Empat usul dibahaskan selama dua hari persidangan berlangsung dan usul dipersetujui akan dibawa kepada jemaah menteri.
Semua ahli PBM ditempatkan dalam jawatankuasa-jawatankuasa Sosio Ekonomi, Hubungan Antarabangsa dan Diplomatik, Keselamatan, Undang-Undang dan Integriti, Pembangunan dan Alam Sekitar serta Pembangunan Masyarakat dan Kesihatan.