Timbalan MB Kelantan tanding jawatan Naib Presiden PAS
Astro Awani
Mei 21, 2015 09:55 MYT
Mei 21, 2015 09:55 MYT
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan akan bertanding jawatan Naib Presiden PAS pada pemilihan parti yang akan berlangsung bulan depan.
Sekaligus ini akan menyaksikan pertandingan enam penjuru untuk jawatan tersebut termasuk dua penyandang jawatan itu iaitu Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub.
Tiga calon lain adalah Ketua Ulama Idris Ahmad, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad, dan Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar.
Mohd Amar yang sebelum ini menunjukkan minat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti memilih untuk bertanding untuk jawatan Naib Presiden oleh kerana jumlah pencalonan yang diterima.
“Memandangkan pencalonan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi jawatan Timbalan Presiden banyak, saya pula tidak banyak, jadi saya membuat keputusan bertanding jawatan Naib Presiden.
“Seperti biasa saya tawarkan diri dan memberi pilihan kepada perwakilan membuat pilihan,” katanya.
Jawatan Timbalan Presiden adalah pertembungan satu lawan satu antara Tuan Ibrahim dan penyandang jawatan Mohamad Sabu.
Jawatan Presiden juga pertembungan satu lawan satu antara penyandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas Naib Presiden PAS Ahmad Awang.
Muktamar PAS ke-61 akan berlangsung pada 3 hingga 6 Jun.
#Abdul Hadi Awang
#Husam Musa
#Idris Ahmad
#Iskandar Abdul Samad
#Mahfuz Omar
#Mohd Amar Nik Abdullah
#PAS
#Salahuddin Ayub