Tiga sahabat lama rebut kerusi Parlimen Kimanis

Fifi Harteeny Marzuki
April 28, 2018 13:06 MYT
ANIFAH (tengah) dan Karim (kanan) bergambar kenangan ketika pencalonan di Dewan Masyarakat Bongawan, Kimanis, sebentar tadi.
Tiga sahabat lama yang pernah berjuang dalam satu parti suatu ketika dahulu, bertembung untuk merebut kerusi Parlimen P. 176 Kimanis selepas dinamakan sebagai calon kawasan itu bagi mewakili parti masing-masing, hari ini.
Datuk Seri Anifah Aman mewakili Barisan Nasional (BN) yang merupakan penyandang kawasan itu dalam pilihan raya umum yang lalu akan dicabar oleh Datuk Karim Bujang dari Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan).
Sementara itu, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.23 Bongawan, Datuk Mohamad Alamin (BN) yang merupakan penyandang kerusi itu dalam pilihan raya umum lalu akan dicabar oleh Dr. Daud Yusof dari Warisan dan Jaafar Ismail dari Harapan.
Pertembungan lebih meriah bagi kerusi DUN N.24 Membakut apabila menyaksikan pertembungan lima orang calon yang akan merebut kerusi berkenaan.
Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (BN) yang merupakan penyandang kerusi itu pada pilihan raya yang lalu dicabar oleh Abdul Sani Marip (Warisan), Ali Omar Mohd Idris (Harapan), Rosejelen Salimat dari Parti Cinta Sabah (PCS) dan Yahya Ahmad (Bebas).
Penyokong mula membanjiri kawasan pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Bongawan kira-kira jam 8.00 pagi didahului oleh Warisan bersama calon mereka dan disusuli calon serta penyokong Harapan.
Kira-kira jam 8.30 pagi penyokong BN juga mula membanjiri kawasan pusat penamaan calon itu yang seterusnya disusuli oleh ketiga-tiga calon BN.
Proses penamaan calon berjalan dengan lancar dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.
#Anifah Aman #Barisan Nasional #berjuang #BN #harapan #Jaafar Ismail #Karim Bujang #Parlimen Kimanis #parti #Sahabat lama #Warisan
;