Tiga perkara perlu jadi tumpuan utama kerajaan Ismail Sabri - MT UMNO

Muhafandi Muhamad
September 13, 2021 09:13 MYT
Md Alwi berkata, kerajaan perlu segera memulihkan ekonomi supaya mereka yang hilang pendapatan dapat kembali mencari pekerjaan. - Gambar fail
KETEREH: Tiga perkara utama perlu diberi tumpuan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh segera.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad berkata, kerajaan perlu membawa negara keluar dari kesan wabak COVID-19, membantu memulihkan ekonomi dan memastikan kestabilan politik.
"Pertama, masalah pandemik. Kita selesaikan dulu. Kita hendak keluar dari (kesan) wabak ini. Kedua, masalah ekonomi. Ramai orang hilang pekerjaan ketika ini.
"Ketiga, berkaitan Bajet 2022, suhu politik kena diturunkan supaya semua orang boleh bekerja dan pelabur asing datang. Kita kena tunjuk kestabilan kita," katanya di sini, semalam.
Md Alwi menjelaskan, rakyat mengharapkan pentadbiran kerajaan mampu mengatasi tiga perkara tersebut.
Katanya, program imunisasi COVID-19 yang dilaksanakan kerajaan disambut baik rakyat walaupun menyedari fasa endemik memerlukan semua rakyat kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Paling penting, katanya, kerajaan perlu segera memulihkan ekonomi supaya mereka yang hilang pendapatan dapat kembali mencari pekerjaan dan kadar pengangguran dikurangkan.
#Md Alwi Che Ahmad #tumpuan kerajaan #kestabilan politik #pemulihan ekonomi
;