Tiga jam bermesyuarat, MT UMNO bermalam di Janda Baik?

Hasimi Muhamad
Februari 19, 2021 00:02 MYT
Pemerhatian Astro AWANI juga mendapati pintu utama bangunan ILMU turut diarah ditutup pada pukul 11.30 malam. - Astro AWANI/Hasimi Muhamad
BENTONG: Selepas lebih tiga jam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO berlangsung di Institut Latihan Memperkasakan Ummah (ILMU) di Janda Baik, di sini, tiada sebarang kenyataan dibuat oleh mana-mana ahli MT, setakat ini.
Malah, kenderaan yang membawa masuk ahli MT UMNO pada pukul 6.30 petang Jumaat juga dilihat tidak membawa keluar atau mengambil mana-mana individu, setakat ini.
Selain itu, pemerhatian Astro AWANI juga mendapati pintu utama bangunan ILMU turut diarah ditutup pada pukul 11.30 malam.
Bagaimanapun, tidak dapat disahkan sama ada ahli MT akan bermalam di bangunan ILMU, atau sebaliknya.
Terdahulu, beberapa kenderaan dipercayai membawa ahli MT UMNO tiba di ILMU bagi menghadiri mesyuarat MT.
BACA: MT UMNO bermesyuarat di Janda Baik
Difahamkan, mesyuarat tersebut dijadual berlangsung pada pukul 8.30 malam.
Sumber memaklumkan bahawa mesyuarat pada malam ini digambarkan penting khususnya dalam mencorak hala tuju parti Melayu itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ia antaranya dijangka menyentuh mengenai persetujuan melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) daripada UMNO dalam usaha mengukuhkan parti itu.
Astro AWANI akan cuba mendapatkan reaksi daripada MT UMNO berhubung intipati mesyuarat berkenaan.
#MT UMNO #mesyuarat #Janda Baik #UMNO #Institut Latihan Memperkasakan Ummah #ilmu #PRU15 #pilihan raya umum #parti Melayu
;