Tiga inisiatif baru untuk Pemuda UMNO
Astro Awani
November 25, 2014 15:19 MYT
November 25, 2014 15:19 MYT
Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila menyerahkan polisi insurans perlindungan kemalangan dan khairat kematian untuk semua Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Bahagian di seluruh negara.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, pemberian polisi insurans ini merupakan satu inisiatif baru kepada semua AJK Pemuda UMNO Bahagian.
Katanya, buat permulaan polisi insurans ini hanya diberikan kepada AJK Bahagian namun untuk masa hadapan, pihaknya sedang berusaha untuik memastikan AJK Pemuda cawangan juga memperolehi inisiatif ini.
"Tahun lepas kita telah berjanji untuk memberikan polisi insurans kepada AJK Pemuda UMNO Bahagian, jadi hari ini kita laksanakan apa yang kita janjikan.
"Kita sedang berusaha untuk memastikan polisi insurans kemalangan dan khairat kematian ini dapat juga diberikan kepada semua AJK Pemuda UMNO cawangan pada masa akan datang," katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Makan tengah hari bersama Ketua Pemuda UMNO Malaysia di Dewan Tun Razak 2, Pusat Dagangan Putra (PWTC).
Seramai 4,775 AJK Pemuda UMNO bahagian di seluruh negara menerima polisi insurans perlindungan kemalangan dan khairat kematian yang diumumkan itu.
Selain polisi insurans, Khairy juga mengumumkan pemberian telefon pintar kepada semua Ketua Pemuda UMNO bahagian di seluruh negara.
Katanya, pemberian telefon pintar dan aplikasi UChat yang dibangunkan oleh seorang anak muda Melayu itu diberikan untuk memudahkan penyampaian maklumat peringkat akar umbi.
"Telefon pintar ini untuk memudahkan maklumat disampaikan dan kita guna aplikasi UChat yang dibangunkan oleh anak muda Melayu," katanya lagi.
Dalam ucapan itu juga Khairy turut mengumumkan inisiatif tambahan peruntukan kepada setiap bahagian dan cawangan yang berjaya menambah ahli serta menyediakan war room.
"Kalau berjaya tambah lagi banyak ahli, lebih banyak peruntukan akan kita berikan," katanya.
Inisiatif ini akan mula diberikan tahun hadapan sempena tahun menambah ahli secara agresif dan persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).