Tiga elemen penting pastikan kestabilan Sabah - Ahmad Zahid
Bernama
Ogos 23, 2015 23:42 MYT
Ogos 23, 2015 23:42 MYT
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan tiga elemen penting bagi memastikan kestabilan Sabah terus terjamin di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Tiga elemen tersebut ialah kestabilan politik, pengukuhan ekonomi dan pemerkasaan aspek keselamatan, katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Belud di sini, hari ini.
UMNO Bahagian Kota Belud diterajui Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata elemen ini penting kerana ia mampu menjadi platform dalam menentukan kelangsungan kemakmuran dan kekuatan Sabah, sekali gus rakyat negeri ini mampu menikmati kesejahteraan di bawah kerajaan BN.
Justeru, ketiga-tiga elemen ini, katanya, harus diberi perhatian penuh memandangkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab dari luar dan dalam yang menjadikan ia sebagai sasaran untuk kepentingan mereka.
"(Jalinan kestabilan dan pengukuhan) elemen-elemen ini penting, kerana tidak mustahil ada pihak kurang senang dan 'sakit mata' melihat kemakmuran di Sabah ini," katanya.
Justeru, Ahmad Zahid selaku Menteri Dalam Negeri berkata langkah-langkah proaktif perlu diambil bagi menyekat mana-mana pihak yang ingin mengganggu-gugat politik, ekonomi dan keselamatan Sabah termasuk mereka yang ingin menggulingkan kerajaan sedia ada.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memuji Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman atas ketokohan dan kepimpinan beliau dalam memperjuang nasib rakyat di Sabah.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan semua anggota UMNO supaya terus merapatkan barisan kepimpinan termasuk memberi komitmen kepada kepimpinan kerajaan sedia ada.
Beliau juga mengingatkan pemimpin atasan supaya sentiasa turun padang kerana pemimpin UMNO bukan pemimpin bermusim.