Tiga Ahli Parlimen DAP digantung sesi Parlimen 10 hari

Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
Mac 26, 2018 12:00 MYT
Datuk Ngeh Koo Ham (kiri) dan V. Sivakumar (kanan) antara tiga Ahli Parlimen yang digantung dari menghadiri sidang Dewan Rakyat selama 10 hari kerana menghina Speaker. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Tiga Ahli Parlimen DAP digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama 10 hari kerana menghina Speaker Dewan Rakyat serta kemuliaan institusi tersebut.
Mereka adalah Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming (DAP-Taiping) dan V. Sivakumar (DAP-Batu Gajah).
Pengumuman tersebut dibuat Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada pagi ini.
"Kenyataan yang telah dibuat secara bersama oleh ketiga-tiga Yang Berhormat, merupakan suatu penghinaan kepada Speaker Dewan Rakyat, juga bererti mencemarkan prestij Dewan Rakyat.
"Justeru, saya memerintahkan supaya Beruas, Taiping dan Batu Gajah keluar dari Dewan Rakyat selama 10 hari bermula Isnin," kata Ronald.
Pada 7 Mac lalu, Ngeh, Nga dan Sivakumar menuntut Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk meletakkan jawatan kerana menolak usul berhubung isu rampasan kapal mewah milik ahli perniagaan, Jho Low di Indonesia dan soalan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Susulan itu, Pandikar telah menghantar notis kepada mereka untuk meminta maaf kerana telah menghina Speaker dan Dewan Rakyat.
Namun, mereka enggan berbuat demikian selagi Pandikar tidak memberi jawapan jelas berhubung usul berkaitan 1MDB.
#ahli Parlimen #Batu Gajah #Beruas #DAP #Dewan Rakyat #menghina #Nga Kor Ming #Ngeh Koo Ham #Ronald Kiandee #Speaker Dewan Rakyat #Taiping #V Sivakumar
;