Tiga ADUN angkat sumpah jawatan Pembantu Menteri Sabah
Bernama
Januari 26, 2023 12:08 MYT
Januari 26, 2023 12:08 MYT
KOTA KINABALU: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan sebagai Pembantu Menteri kerajaan Sabah di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.
Mereka adalah Naib Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Ruslan Muharam yang juga ADUN Lumadan, ADUN Likas Tan Lee Fatt daripada DAP dan ADUN Inanam Peto Gadim daripada PKR.
Ketiga-tiga ADUN itu mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan kemudian menandatangani surat sumpah jawatan masing-masing disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Datuk Ismail Brahim.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya, Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong.
Pada 11 Jan lepas, Hajiji mengumumkan rombakan jemaah menteri Sabah yang antara lain menyaksikan Shahelmy dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III dan Masidi dilantik Menteri Kewangan negeri.
-- BERNAMA