Tidak wujud perpecahan dalam UMNO Sabah - Ahmad Zahid

Bernama
Jun 22, 2024 21:15 MYT
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan dakwaan kononnya wujud perpecahan dalam parti itu di Sabah terutama dalam kalangan pemimpinnya. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan dakwaan kononnya wujud perpecahan dalam parti itu di Sabah terutama dalam kalangan pemimpinnya.

Ringkasan AI
  • Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan wujud perpecahan dalam UMNO Sabah, sebaliknya parti itu fokus merapatkan saf kepimpinan dan memperkukuh jentera untuk Pilihan Raya Negeri ke-17.
  • UMNO Sabah perlu mengubah cara konvensional berkempen dan fokus pada kaedah baharu yang dapat menarik sokongan pengundi muda.
  • Semua parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu mendukung gabungan di peringkat nasional dan mencari penyelesaian bersama untuk isu di peringkat negeri.

Beliau berkata sebaliknya UMNO Sabah kini fokus untuk merapatkan saf kepimpinan dan memperkukuh jentera parti itu terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 nanti.
Justeru, beliau berkata sudah tiba masanya jentera UMNO Sabah mengubah cara konvensional yang sering dilakukan ketika menghadapi pilihan raya dan fokus menggunakan kaedah baharu yang mampu menarik sokongan terutama dalam kalangan pengundi muda.
""Bagi saya, jika ini dapat kita lakukan beberapa ketika dahulu dan tingkatkan gerakan kita, saya yakin masyarakat yang sebelum ini ada persepsi negatif akan kita ubah jadi positif... masa ini kita fokus kepada kukuhkan jentera UMNO Sabah.
"Tiada perpecahan dalam UMNO Sabah, (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri) Bung (Moktar Radin) ada program lain yang perlu dihadiri pagi tadi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Sepanggar di sini hari ini.
Turut hadir Bung Moktar dan Ketua UMNO Bahagian Sepanggar Datuk Yakub Khan.
Ahmad Zahid turut ditanya mengenai kehadiran dan kemesraan beliau dengan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pada majlis pagi tadi.
Beliau berkata Hajiji adalah kawan lama yang dikenalinya semasa Ketua Menteri Sabah itu menganggotai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dahulu.
"Konsep saya, musuh seseorang itu musuh dia, kawan seseorang itu kawan saya. Saya punyai pegangan begitu, jadi saya bagitahu walaupun kita tidur bantal lain-lain tetapi mimpi kita adalah sama," katanya.
Justeru itu, Ahmad Zahid berkata semua parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu mendukung gabungan itu terutama di peringkat nasional dan mencari formula terbaik untuk menyelesaikan sesuatu isu secara bersama jika wujud sebarang permasalahan di peringkat negeri.
"Saya ambil pendekatan yang lembut di Tuaran. Saya ambil prinsip kita mahu berkawan dengan semua pihak. Ada yang bertanya mengenai kerjasama (pada PRN Sabah ke-17), keputusan nanti saya nyatakan apabila tiba masanya," kata beliau.
-- BERNAMA
#UMNO Sabah #Ahmad Zahid Hamidi #nafi #perpecahan parti
;