Tidak wujud pakatan pilihan raya dengan UMNO - Takiyuddin

Vivi Sumanti
Ogos 26, 2017 11:07 MYT
Takiyuddin meminta mereka yang membuat dakwaan berhubung pakatan pilihan raya tersebut mengemukakan bukti dan hujah menyokong perkara itu. - Gambar fail
Tiada perbincangan atau permuafakatan antara PAS dan UMNO di peringkat kepemimpinan untuk mempertahankan kerajaan PAS Kelantan atau menumbangkan kerajaan PKR Selangor, kata Datuk Takiyuddin Hassan.
Sebaliknya, menurut Setiausaha Agung parti Islam itu, PAS tetap akan meletakkan calon di kawasan majoriti Melayu pada pilihan raya akan datang dan akan bersaing dengan mana-mana parti, termasuk UMNO.
Katanya, dakwaan wujud pakatan pilihan raya dan perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Presiden UMNO, dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah tidak benar.
"Dakwaan mengatakan ada konspirasi atau pakatan untuk jatuhkan kerajaan Selangor tidak logik, kerana PAS juga berada dalam kerajaan Selangor," katanya.
Sehubungan itu, Takiyuddin meminta mereka yang membuat dakwaan tersebut mengemukakan bukti dan hujah menyokong perkara itu.
Katanya, PAS hanya ada hubungan dengan UMNO melibatkan kerajaan dengan kerajaan, untuk kepentingan rakyat, sebaliknya tiada hubungan atau pakatan dalam pilihan raya.
Memetik sumber, Straits Times Singapura semalam mendakwa, Najib dan Abdul Hadi sedang mengusahakan pakatan pilihan raya untuk merampas Selangor dalam pilihan raya umum akan datang.
Sumber itu mendakwa, kedua-dua pemimpin Melayu itu “berhubung hampir setiap hari untuk tempoh beberapa bulan”.
Laporan itu juga menyebut, mereka sering berbual dalam telefon selepas Abdul Hadi selesai menjalani pembedahan jantung Mei lalu.
#Abdul Hadi Awang #Najib Razak #pakatan pilihan raya #PAS #Takiyuddin Hassan #UMNO
;