Tidak warta fatwa, PAS P.Pinang akan saman kerajaan negeri
Astro Awani
April 2, 2017 18:13 MYT
April 2, 2017 18:13 MYT
PAS Pulau Pinang tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang -undang terhadap kerajaan negeri berhubung dakwaan tidak mewartakan fatwa yang sudah diluluskan.
Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ketika ini pihaknya sedang dalam proses perbincangan dengan peguam sebelum mengambil tindakan lanjut dalam masa terdekat.
Tegasnya, keputusan itu dibuat selepas mendapati kerajaan negeri tidak serius mewartakan fatwa yang diluluskan dan ia jelas membelakangkan keputusan yang dibuat oleh Yang Dipertuan Agong.
Katanya, empat fatwa yang masih tidak diwartakan kerajaan negeri adalah larangan umat Islam memasuki pertandingan ratu cantik, hukum menghisap shisha, pengurusan tanah negeri serta pengurusan tanah wakaf.
“Kita hendak mendesak supaya ditubuhkan suruhanjaya bebas di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk menyiasat mana-mana campurtangan politik terhadap fatwa di Pulau Pinang.
“Mana-mana negeri yang mengakibatkan fatwa itu tidak digazetkan sebagai contoh, fatwa berkaitan dengan ratu cantik,, yang diperkenan Agong dan tidak digazetkan, kita anggap tindakan ini telah membelakangkan kuasa YDP Agong,” katanya selepas Majlis Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang kali ke 37 di Penanti di sini hari ini.
Majlis hari ini disempurnakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.
Dalam masa sama, pihaknya juga mendesak supaya satu suruhanjaya bebas di peringkat Kerajaan Persekutuan ditubuhkan bagi menyiasat campurtangan politik pihak tertentu dalam urusan pemfatwaan di negeri.
Sebelum ini, Afnan Hamimi berkata wujud campur tangan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri sehingga menyebabkan empat fatwa yang sudah diluluskan tidak diwartakan atas alasan tidak bersesuaian dengan situasi politik semasa.