'Tidak wajar wujud parti Cina gabungan DAP dengan MCA' - penganalisis
Wan Syamsul Amly
Jun 17, 2015 10:54 MYT
Jun 17, 2015 10:54 MYT
Pergolakan politik Pakatan Rakyat disifatkan tidak akan membuka pintu kepada DAP dengan MCA untuk bersatu dan membentuk parti khusus untuk kaum Cina di negara ini.
Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, DAP dan MCA mempunyai falsafah berbeza selain tidak mempunyai satu pendirian sama kepada konsep 'Malaysian Malaysia'.
"Saya tidak fikir MCA akan bergabung dengan DAP, kedua-dua ada falsafah berbeza.
"Sudah tentu parti dalam kerajaan tak sokong 'Malaysian Malaysia. Untuk jangka pendek saya tidak nampak mereka akan bergabung.
"Namun untuk masa panjang sukar untuk saya ramalkan tetapi untuk masa kini, penggabungan DAP dan MCA atau wujudnya satu parti Cina tidak sepatutnya diwujudkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kok Seong berkata demikian ketika mengulas pergolakan politik Pakatan Rakyat yang meruncing.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada Selasa memutuskan bahawa Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata dia masih yakin dengan kewujudan Pakatan Rakyat meskipun sekutunya DAP sudah mengisytiharkan gabungan itu kini berakhir.
Penasihat DAP Lim Kit Siang sebelum ini dilaporkan berkata, tidak perlu menunggu pengumuman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk mengatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.
Dalam pada itu, kata Kok Seong, situasi mustahil untuk DAP dan MCA bergabung turut dilihat sama kepada UMNO dan PAS.
"Usaha mereka untuk bergabung sudah banyak kali diadakan namun mungkin falsafah kedua-duanya berbeza menjadikannya tidak menjadi kenyataan. PAS dikenali sebagai parti Islam sedangkan UMNO tidak mahu kelihatan seperti parti Islam semata-mata.
"UMNO memperjuangkan Islam dan tidak mahu kelihatan memperjuangkan Islam sebagai matlamat kerana matlamatnya bekerja untuk rakyat Malaysia," ujarnya.
Katanya lagi, situasi politik negara yang kini bergolak, tidak kira di pihak kerajaan atau pembangkang, dilihat banyak membuang masa yang seharusnya digunakan untuk kerja lain yang lebih berfaedah.
"Setiap parti ada masalahnya dan sudah tentu banyak masa dan tenaga diberikan untuk menyelesaikan masa ini. Ia akan menjejaskan masa yang sepatutnya digunakan untuk bekerja.
"Lebih penting kini kalau kita selesaikan secara segera kemelut parti politik negara yang membawa imej tidak baik kepada dunia luar," katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, penubuhan parti politik baharu tidak menjanjikan penyelesaian krisis politik negara.
"Kemungkinan ada yang akan cuba menahan lukah di pergentingan, namun adanya parti baharu tidak ada bezanya dengan keadaan semasa. Ahlinya orang yang sama juga," katanya.
Sebelum ini, ahli politik veteran, Tengku Razaleigh Hamzah dilapor berkata beliau tidak menolak kemungkinan akan berlakunya penyusunan semula kuasa politik baharu, susulan permasalahan yang menimpa Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.
Katanya, adalah perkara biasa untuk parti politik melalui proses evolusi yang kadang kala melemahkan dan kadang kala menguatkan parti itu.