Tidak wajar bubar Parlimen dalam tempoh terdekat - Pas ulangi pendirian
Sinar Harian
Oktober 4, 2022 10:20 MYT
Oktober 4, 2022 10:20 MYT
SHAH ALAM: Pas mengulangi tiga pendirian parti itu mengenai politik semasa dengan mengambil kira beberapa faktor situasi negara ketika ini.
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pertama, Pas berpandangan pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar dan tiada keperluan disegerakan.
Menurutnya, ia mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan.
"Kedua, Pas tetap akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan semua pihak termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan tokoh masyarakat ke arah menjayakan agenda perpaduan ummah.
"Ini bagi mencapai titik persamaan dan mengelakkan pertembungan sesama sendiri, sekali gus mengalahkan Pakatan Harapan (PH)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, pendirian ketiga Pas adalah dalam apa jua keadaan, kepentingan negara dan rakyat hendaklah didahulukan.
"Di samping langkah-langkah pemulihan ekonomi yang perlu terus disokong, khususnya melalui Bajet 2023 yang akan dibentangkan," ujar Ahli Parlimen Marang itu.