"Tidak turun PRK Sungai Bakap kerana mahu fokus masalah rakyat" - PM Anwar
Abd Hadi Che Awang
Jun 29, 2024 19:01 MYT
Jun 29, 2024 19:01 MYT
BUTTERWORTH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa keputusannya untuk tidak 'turun padang' bagi membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap adalah demi menumpukan kepada masalah ekonomi negara dan usaha membangunkan rakyat.
Ringkasan AI
- Fokus pada Masalah Ekonomi dan Pembangunan Rakyat: Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih untuk tidak terlibat secara langsung dalam kempen calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap. Keputusan ini diambil untuk memberi tumpuan kepada isu-isu ekonomi negara dan usaha membangunkan rakyat.
- Penyerahan Tugas Kepada Kepimpinan PH dan BN: Beliau menyerahkan tugas mengendalikan kempen kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat nasional dan negeri. Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid, juga terlibat dalam tugas ini.
- Amalan Kempen yang Sihat dan Berhemah: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakan-rakan pimpinan dalam Kerajaan Perpaduan untuk mengamalkan kempen secara sihat dan berhemah. Beliau menekankan pentingnya menjelaskan apa yang dilakukan tanpa terlibat dalam caci maki atau gelaran yang tidak bermoral.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan tugas berkenaan kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat nasional dan negeri termasuk Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid.
"Saya tidak bertanding di Sungai Bakap, saya tak pergi pun (ke) Sungai Bakap, cuma (dalam program sebelum ini) dari Kerian, Perak (saya) balik sekejap (ke Pulau Pinang untuk) minum kopi kemudian balik (semula ke Putrajaya).
"Saya ingat tidak (jadi) apa-apa (masalah) untuk serah (tugas kendalikan kempen PRK ini) kepada anak buah, Dr Mohamad, Timbalan Ketua Menteri 1 (pun) ada, kawan-kawan buatlah kerja (di situ), saya (beri ruang) tumpu masalah ekonomi dan masalah (untuk) bangunkan rakyat," katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Tekun Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang di Dewan SP Arena, Seberang Jaya, pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan rakan-rakan pimpinan dalam Kerajaan Perpaduan untuk mengamalkan kempen secara sihat dan berhemah.
"Kalau dengar di Sungai Bakap maki berbakul-bakul, jadi (kalau) lawan maki, saya pesan kepada kawan-kawan kita tak payah lawan maki, terangkan apa yang kita buat.
"(Ada kempen) maki orang, caci orang, (kalau) tidak setuju dengan dia, (gelar) Yahudi, tak setuju dengan dia (panggil) kafir, tak setuju dengan dia (dikatanya) mungkar, apa (jenis) dakwah begitu, mana (kaedah) dakwah bilhikmah," katanya lagi.