Tidak timbul kerjasama dengan UMNO - Anwar

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 11, 2022 18:36 MYT
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak timbul soal Pakatan Harapan akan bekerjasama dengan UMNO selepas Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) seperti yang dikatakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke. - Gambar fail
IPOH: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak timbul soal Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama dengan UMNO selepas Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) seperti yang dikatakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Menurut Anwar, jika dibaca konteks ucapan Anthony, perkara itu tidak sampai membawa pada kerjasama tersebut.
Jelas Anwar, kenyataan Anthony tempoh hari merujuk pada kemenangan PRU15 adalah atas nama PH, namun, seandainya keadaan selepas PRU15 rumit dan gawat, maka beliau tidak menolak kemungkinan yang akan berlaku.
“Tapi jawapan saya, kita nak berdepan dalam pilihan raya ini sebagai satu pasukan yang padu dengan keyakinan untuk menyelamatkan negara dan merayu kepada rakyat teruskan dokongan yang berlaku pada tahun 2013, 2018 dan sekarang apatah lagi,” kata Presiden PKR itu lagi.
Anwar berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perak di sini, pada Khamis.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menegaskan, PH perlu memasuki pertandingan dan seterusnya menang dengan bergaya.
Pada Isnin, dalam temu bual bersama sebuah portal, Anthony berkata, DAP tidak akan menolak untuk bekerjasama dengan UMNO kerana apa sahaja boleh berlaku dalam politik.
Kata Anthony, politik Malaysia telah mengalami perubahan drastik sejak pilihan raya umum 2018, terutamanya dengan ketiadaan parti tunggal yang dominan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, sebarang kerjasama hanya akan berlaku selepas PRU15.
#PRU15 #PH kerjasama UMNO #Anwar Ibrahim #Anthony Loke Siew Fook
;