Tidak timbul isu tukar kerajaan kalau adil agih peruntukan - Hamzah

Amirrul Rabbani
Mei 7, 2023 15:19 MYT
Hamzah berkata sekiranya keadilan dalam soal pengagihan peruntukan dapat dilaksanakan, maka isu pertukaran tampuk pentadbiran kerajaan Pusat tidak akan timbul.- Fail BERNAMA
LARUT: Kerajaan Perpaduan ketika ini diminta untuk bersikap lebih adil terutama dalam soal pengagihan peruntukan yang tidak hanya terlalu tertumpu kepada negeri-negeri yang ditadbir parti kerajaan.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ini kerana sekiranya keadilan dalam soal pengagihan peruntukan dapat dilaksanakan, maka isu pertukaran tampuk pentadbiran kerajaan Pusat tidak akan timbul.
“Berikan keadilan kepada semua. Dana (daripada Persekutuan) kalau duit itu datangnya daripada duit kerajaan, maka seelok-eloknya (berikan) kepada semua. Jadi (sebab itulah sekarang ini) timbul isu siapa nak ambil alih (tampuk pemerintahan ketika ini). Isu ambil alih (pentadbiran kerajaan) ini adalah isu perundangan.
“Kalau ada, adalah. Kalau tak ada, orang yang belum ada mungkin akan mencari untuk adakannya, sebab telah pun dikatakan sebegitu rupa. Jadi mungkin akan jadi ada.
“Namun, seperti dalam ucapan saya tadi, Saya tak tahu pun (desas-desus isu pertukaran kerajaan), kerana saya hanya duduk diam-diam sahaja,” katanya yang juga Ketua Pembangkang Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Larut di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, tanpa menyebut nama mana-mana individu, Hamzah berkata ada seseorang pemimpin itu seharusnya bijak dalam soal pengurusan dan bukan hanya terlalu banyak bercakap.
“Ada orang pandai bercakap tetapi tidak tahu untuk menguruskannya. Sebab itu dalam Islam yang penting adalah pengurusan, bukan bercakap. Yang pentingnya biarlah kita berlakuk adil. Adilnya untuk siapa? Adil untuk rakyat,” ujarnya lagi.
#Kerajaan Perpaduan #pengagihan peruntukan #Hamzah Zainudin #Perikatan Nasional
;