Tidak tangguh pemilihan UMNO bukti kematangan parti - Dr Siva
Wan Syamsul Amly
November 26, 2014 08:30 MYT
November 26, 2014 08:30 MYT
Pemilihan UMNO wajar tidak ditangguh supaya perjalanan dan tata pemilihan dapat menunjukkan sudah ada perubahan dan tahap kematangan yang baik berbanding pemilihan parti lain.
Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, ia sekali gus boleh menjadi ujian sejauh mana kepentingan parti dipertahankan walau berhadapan dengan pemilihan parti sendiri.
"Ia dapat menjadi rujukan kepada yang di luar yang memerhati islah atau pembaharuan yang dibawa oleh parti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dr Siva mengulas cadangan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya parti tidak menangguhkan pemilihan selepas pilihan raya umum (PRU) seperti yang dilakukan sebelum ini sebaliknya menjalankan pemilihan tersebut mengikut masa yang ditetapkan oleh perlembagaan parti.
Muhyiddin juga mencadangkan Perlembagaan UMNO dipinda pada tahun depan untuk membolehkan barisan pelapis muda memainkan peranan dan memberi khidmat lebih besar kepada parti itu
Dalam pada itu kata Dr Siva, proses peremajaan juga merupakan satu agenda besar yang wajar diberi tumpuan dan pindaan perlembaagan parti untuk memudahkan belia terus ke hadapan dalam politik.
"Ia merupakan langkah yang akan diktiraf. Malahan saya berpendapat mungkin sudah tiba masanya menghadkan tempoh memegang jawatan parti untuk jawatan tertentu supaya golongan muda melihat wujud ruang besar bagi mereka untuk tampil dan mempamer kewibawaan mereka dalam tempoh masa yang bersesuaian.
"Langkah-langkah drastik ini akan menunjukkan bahawa UMNO bersedia untuk perubahan besar dalam parti seiring dengan politik kini," tegasnya.
Jelasnya lagi, ingatan yang diberi Muhyiddin itu diharap tidak diambil mudah seiring membuktikan pemimpin parti itu mahu semangat perjuangan UMNO kekal.
"Harus diingat ingatan itu tidak mengira sama ada untuk lama atau baru... semangat orang UMNO harus diterap dan bukan sekadar menjadi ahli yang tidak memahami amanat pucuk pimpinan parti," ujarnya.
Ketika ditanya apakah langkah peremajaan UMNO yang hangat diperkatakan akhir-akhir ini merupakan kombinasi terbaik untuk kelangsungan parti, ini katanya;
"Muhyiddin sudah meneliti politik hari ini yang dahagakan pertembungan idea dan cetusan pemikiran yang disesuaikan dgn golongan muda.
"Apatah lagi di alam maya dan media sosial kini menjadi platform percambahan idea. Muka baru perlu bimbingan dari pemimpin lama dan yang sudah lama memegang jawatan boleh berundur tanpa dipaksa melepaskan jawatan.
Dr Siva berkata, kehadiran pemimpin muda berwibawa boleh menjadi ikon dan dengan sokongan pemimpin lama, ia akan memudahkan serta melancarkan proses transisi peralihan kuasa dan kedudukan untuk parti.