"Tidak tahu, tidak dimaklumkan" - Aziz Bari nafi jadi dalang jatuhkan Faizal Azumu
Harits Asyraf Hasnan
Mac 11, 2020 17:32 MYT
Mac 11, 2020 17:32 MYT
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari hari ini menafikan sekeras-kerasnya beliau menjadi dalang menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak sebelum ini.
ADUN Melayu tunggal dari DAP di Perak itu turut mengesahkan bahawa pimpinan DAP peringkat negeri dan Pusat tidak pernah menyatakan kepadanya sebarang hasrat parti itu untuk merampas kerusi Menteri Besar.
“Itu yang saya tak faham. Dahulu pun, contohnya UMNO iaitu Datuk Saarani Mohamad sendiri di dalam dan di luar DUN, buat sidang akhbar sebagainya dan mengatakan saya bekerja untuk jatuhkan Menteri Besar.
“Saya tak rasa apa-apa sebab saya tak buat apa-apa. Sampai dah jadi krisis sekarang ini, memang tidak ada. Dahulu tidak ada, sekarang pun tidak ada. Saya pun tidak tahu macam mana hendak jatuhkan Menteri Besar.
“Kalau perkara itu hendak dilakukan, ia mesti melalui sesuatu atau seseorang yang ada akses kepada istana dan Tuanku (Sultan Perak). Saya atau DAP memang tidak ada (akses kepada istana). Macam mana kita boleh jatuhkan seseorang Menteri Besar?" katanya dalam temubual eksklusif bersama Astro AWANI.
Beliau pada masa sama tidak tahu apakah motif disebalik kenyataan yang dikeluarkan bekas pimpinan DAP Perak, Yong Choo Kiong dan A. Sivasubramaniam semalam.
Sebaliknya tegas Abdul Aziz, pimpinan DAP pusat seperti Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng telah mengarahkan DAP Perak mengukuhkan kerjasama dengan Ahmad Faizal.
“Bahkan, saya masih ingat lagi, dalam keadaan orang kata DAP tidak selesa atau berasa sukar dengan tindak tanduk Ahmad Faizal itu, saya masih ingat Guan Eng memberikan arahan secara tegas bahawa DAP di Perak mesti mencari jalan untuk bekerjasama dengan pimpinan yang ada.
“Setahu saya, tidak ada (arahan) untuk kita ambil alih atau jatuhkan Menteri Besar, tidak ada,” ujarnya.
Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dua ADUN bekas DAP itu, Abdul Aziz menyerahkan segala keputusan kepada DAP Perak dan pusat setelah kenyataan itu dilihat turut mencemarkan imej parti.
Dalam sidang media semalam, kedua-dua bekas pemimpin DAP itu mengesahkan wujud rancangan menjatuhkan Ahmad Faizal dan kerajaan negeri Perak ketika pemerintahan Pakatan Harapan sebelum ini.
Mereka mendakwa, rancangan tersebut sudah lama dibincangkan oleh Jawatankuasa DAP Perak dan menjadi antara isu yang dibincangkan setiap kali mereka bermesyuarat.
#Aziz Bari
#DAP
#Faizal Azumu
#Lim Guan Eng
#MB Perak
#Menteri Besar
#Menteri Besar Perak
#Pakatan Harapan
#Peja