Tidak tahu sebab digantung, Shahril Hamdan tak akan 'u-turn'
Hasimi Muhamad
Januari 28, 2023 16:57 MYT
Januari 28, 2023 16:57 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mendakwa tidak pernah dipanggil atau menerima sebarang surat daripada Lembaga Disiplin UMNO sebelum mengambil keputusan menggantung keahliannya selama enam tahun.
Shahril dalam satu rakaman video berkata, beliau tidak tahu sebab yang digunakan oleh Lembaga Disiplin parti itu untuk akhirnya mengambil tindakan sedemikian.
Bagaimanapun, jika tindakan tersebut dibuat semata-mata untuk beliau 'u-turn' atau berdiam diri, Shahril menegaskan perkara itu tidak akan berlaku.
"Mungkin lah mereka mengharapkan kita u-turn, kita berdiam diri atau kita ikut... Maaflah, saya tak boleh buat perkara itu. Semua ini tidak mengubah hakikat bahawa ia benda yang susah untuk saya telan.
"Memang kita nak tunjuk kita fighter (pejuang) dan saya jadi fighter, tapi hakikatnya saya manusia biasa.
"Ini parti UMNO satu-satunya parti yang saya dah berjuang. Saya jadi ahli, saya bersama cipta persahabatan, belajar daripada kawan-kawan dalam UMNO, dan mendewasakan diri dalam parti, tetapi tiba-tiba dibuat sebegini," katanya pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Naib Ketua Pemuda UMNO itu berkata, beliau ada membaca mesej yang sengaja ditularkan, tentang sebab yang memungkinkan dirinya dikenakan tindakan oleh UMNO.
Ia antaranya permintaan agar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggalas tanggungjawab susulan kekalahan UMNO pada pilihan raya lalu dan cadangan perubahan parti itu, termasuk menubuhkan jabatan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Saya tak pastilah kalau orang boleh terima perkara ini sebagai sebab yang munasabah. Mungkin kalau mereka nampak orang tak boleh terima, dia cipta pula alasan yang baharu.
"Tapi tak apalah, saya ingat kita semua mungkin boleh agak sebab atau motif utama yang mereka ada untuk buat perkara ini," ujarnya.
Shahril menambah, beliau enggan membuat rayuan kerana menganggap tindakan tersebut sebagai sia-sia selepas prosedur asal (tindakan kepada ahli UMNO) tidak dilakukan dengan cara yang betul.
Dalam masa yang sama, Shahril berkata masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan berhubung langkah seterusnya selepas penggantungan daripada UMNO.
"Tetapi insya-Allah ini tidak akan mematahkan semangat saya. Saya ada kemahuan, keinsafan untuk menyumbang dengan apa cara sekali pun dalam pembangunan agama, bangsa dan tanah air yang lebih murni selepas ini.
"Insya-Allah Shahril Hamdan kalau dah jadi fighter, kita tak akan gostan (undur)," katanya lagi.
Pada Jumaat malam, UMNO memecat bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Beberapa pemimpin lain pula digantung selama enam tahun antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Shahril.
Turut digantung keahlian selama enam tahun ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Fathul Bari Mat Jahya, bekas Ahli Parlimen Jempol Datuk Salim Mohd Sharif, dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.